PENERIMA Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Saudara Baru Cemerlang) 2025 Ardini Angeline Tan berikrar untuk terus menyebarkan mesej Islam kepada masyarakat, khususnya bukan Islam.
Beliau yang juga pelakon bersyukur dan amat menghargai anugerah yang disifatkan paling berharga dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.
“Sejak memeluk Islam, saya pernah kata, saya bertekad nak sebarkan dan menyampaikan erti Islam yang betul kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka faham. Bila tidak salah faham, negara kita akan lebih aman dan damai.
“Bila ramai yang tahu erti Islam, mungkin satu hari nanti mereka juga akan jadi seperti saya,” katanya kepada media selepas menerima anugerah itu pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Serdang.
Ardini yang merupakan isteri kepada pelakon dan pengarah, Sabri Yunus berkata, anugerah dan pengiktirafan tersebut akan menjadi pendorong untuk meneruskan perjalanan dakwah.
“Saya harap Allah SWT SWT terus beri saya lebih banyak peluang untuk capai apa yang saya mahukan selama ini,” katanya.
Beliau menyifatkan anugerah itu bukan sahaja miliknya tetapi juga Sabri, keluarga dan mereka yang mendoakannnya.
“Kalau bukan sebab Abang Sabri, saya tidak dapat menikmati Islam. Jadi anugerah ini untuk beliau, keluarga saya dan semua yang selalu doakan saya,” katanya.


