Anggap Global Sumud Frotila provokosi, kaitkan dengan Hamas…strategi jahat Israel untuk pastikan penduduk Gaza terus kebuluran

ANALISIS

KETIKA Flotilla bantuan menuju Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel, rejim Zionis itu terus membuat tuduhan tidak masuk akal dengan menyifatkan misi kemanusiaan itu  sebagai satu bentuk provokasi yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan membuat  dakwaan itu  selepas Global Sumud Frotilla (GSF) menolak cadangan membantu memunggah barangan bantuan dan diselaraskan untuk dihantar ke Gaza dengan selamat.

“Flotilla berkenaan menolak cadangan kerajaan Itali dan Vatican untuk memunggah sebarang bantuan yang mereka bawa di Cyprus, sebelum dipindahkan secara aman ke Gaza.

“Penolakan itu dibuat selepas mereka turut menolak dua lagi cadangan Israel untuk memunggah bantuan dan menyalurkannya ke Gaza secara aman. Tidak ada yang lebih jelas daripada itu, hal ini tidak berkaitan dengan bantuan, semua ini semata-mata mengenai provokasi dan memberikan keuntungan kepada Hamas,” kata kementerian berkenaan.

Andaian gila oleh Israel itu dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan tiada satupun bantuan akan sampai ke Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang kini semakin kebuluran.

Pada masa sama juga, dakwaan Israel itu bertujuan mengelakkan peserta misi berkenaan mengetahui situasi sebenar di Gaza yang setakat ini menyaksikan lebih 65,000 rakyat Palestin dibunuh oleh rejim Zionis manakala ribuan bangunan dibom.

Lebih tidak masuk akal apabila Israel yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) tidak mahu membenarkan Flotilla bantuan memecah sekatan laut ke Gaza dengan alasan ia zon pertempuran dan menuduh kumpulan Hamas mengatur flotilla berkenaan untuk kepentingan politik.

Persoalannya, apa yang dimaksudkan zon pertempuran? Israel yang memandai-mandai menganggap ia zon pertempuran sedangkan apa yang dunia saksikan ialah tentera rejim Zionis yang sedang mengganas membunuh rakyat Palestin.

Kenapa Israel tidak maju memberi jaminan keselamatan terhadap misi kemanusiaan itu melepasi ‘zon pertempuran’ dengan selamat? Hamas tidak ada kaitan dengan GSF dan pastinya tidak akan mengancam GSF.

Walaupun terdapat ancaman Israel, namun peserta GSF terus bersemangat dengan memaklumkan kapal-kapalnya telah menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

“Dalam masa dua hari, flotilla akan memasuki zon berisiko tinggi, ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan penganjur di platform media sosial X

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza pada Sabtu mendedahkan bahawa satu lagi flotilla terdiri daripada 10 kapal awam telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.

Peserta termasuk sembilan Ahli Parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Global Sumud Flotilla, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing. Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel.

Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai rekod memintas kapal-kapal menuju Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis.

Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Ancaman demi ancaman yang diterima oleh GSF daripada Israel menimbulkan persoalan kenapakah Amerika Syarikat  tidak melakukan apa-apa untuk memastikan GSF selamat sampai ke Gaza.

Setakat ini AS langsung tidak memberi respons terhadap ancaman Israel ke atas GSF dan ia sekaligus membuktikan bahawa janji AS untuk menghentikan perang di Gaza hanyalah sandiwara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img