SEORANG anggota polis bantuan yang merupakan antara mangsa kemalangan bas ekspres dan lori muatan tiga tan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Rawang awal pagi ini meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, akibat kecederaan parah dialaminya.
Mangsa, Luqman Nul Hakim Halim, 37, berasal dari Kedah dan menetap di Batu Pahat, Johor, difahamkan menaiki bas bersama isterinya, Nabila, 40, serta empat orang anak mereka.
Ketika kejadian, Allahyarham Luqman Nul Hakim bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Pahat selepas menziarahi kematian ibu tirinya di Kedah.
Anak saudara mangsa, Nor Ashikin Nordin, 32, memaklumkan, dia menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke Hospital Sungai Buloh.
“Pada awalnya dimaklumkan arwah belum meninggal dunia. Saya terus datang ke hospital dan diminta menunggu di zon merah kerana keadaan arwah ketika itu sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh hari ini, lapor Sinar Harian.
Nor Ashikin berkata, berita itu amat mengejutkan memandangkan mereka tidak bertemu hampir setahun, selain keluarga baharu sahaja menerima khabar pemergian ibu tiri mangsa.
“Difahamkan doktor memaklumkan Luqman Nul Hakim mengalami kecederaan parah akibat tertusuk penghadang jalan di bahagian perut.
“Anak-anak arwah saya ambil sekejap untuk dijaga sementara isteri arwah sedang berurusan dengan pihak polis. Mereka masih kecil, yang sulung berusia 10 tahun manakala yang bongsu baru tujuh bulan,” katanya.
Suri rumah itu berkata, mangsa bekerja di Batu Pahat dan jenazah dijangka dikebumikan di Beranang, Selangor memandangkan ahli keluarga terdekat berada di kawasan berkenaan.
“Difahamkan pengebumian akan dilakukan malam ini. Bapa arwah sedang dalam perjalanan kerana pada pagi tadi menguruskan urusan kematian isterinya iaitu ibu tiri arwah,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi ini, sebuah bas ekspres membawa 40 penumpang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tiga tan mengakibatkan 15 cedera termasuk tiga parah di Kilometer 441.2 PLUS arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 5.24 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi kejadian.
Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres membawa 40 penumpang dan dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dengan selamat, manakala empat mangsa tersepit di dalam bas. Pemandu lori berkenaan turut terperangkap di dalam lori.


