Anwar ingatkan rakyat waspada terhadap iri hati, permusuhan luar berikutan kemajuan Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini mencatat rekod memberangsangkan termasuk prestasi ringgit dalam kalangan mata wang Asia, kadar pengangguran rendah dalam tempoh satu dekad serta pelaburan yang disifatkan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, kemajuan tersebut tidak boleh menimbulkan rasa selesa kerana lembaran sejarah memperlihatkan kejatuhan bermula apabila timbul kealpaan dalam mempertahankan asas kekuatan negara.

“Kita bersyukur, tetapi syukur itu mesti hadir bersama kewaspadaan,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, apabila sebuah negara kecil seperti Malaysia meningkat maju, ia tentunya meraih perhatian dunia termasuk perhatian dalam aspek ekonomi dan geopolitik.

“Positifnya, ia menarik pelaburan dan pelancongan. Kewaspadaannya kerana apakah kita dapat bertahan dan apakah mungkin bukan saja bertahan dari segi ketahanan nasional, domestik tetapi tentang iri hati dan juga permusuhan luar,” katanya.

Beliau menambah, ketahanan negara tidak hanya bergantung kepada angka pertumbuhan tetapi kekuatan tekad rakyat mempertahankan keamanan dan perpaduan.

Anwar Beliau mengingatkan bahawa setiap jawatan bersifat sementara, termasuk kedudukan Perdana Menteri, justeru amanah perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Dalam sejarah kita, ada Perdana Menteri tak cukup setahun, ada Perdana Menteri dua tahun, ada Perdana Menteri tiga tahun. Ada Perdana Menteri 22 tahun. Tetapi semua itu peringatan kepada kita. Tidak ada yang kekal,” katanya.

Dalam konteks persekitaran global, kata beliau, situasi di beberapa negara yang mengalami perpecahan agama, etnik dan ideologi seharusnya menjadi iktibar penting kepada Malaysia agar tidak mengambil mudah keharmonian sedia ada.

“Mari kita renung negara lain yang kelihatan aman tetapi sebenarnya rapuh dan mudah tercetus sengketa. Kita tidak boleh anggap keadaan di sini akan kekal begitu tanpa usaha memelihara,” ujarnya.

Anwar turut menekankan bahawa kestabilan politik juga perlu dipertahankan agar rakyat tidak terperangkap dalam ketidaktentuan akibat percaturan kuasa yang berpanjangan.

“Sekali lagi saya tegaskan sebab kita renung dan tengok negara Asia yang ada percaturan pergaduhan antara mazhab, kaum, suku kaum, ideologi yang panas dan menyebabkan gambaran negara itu sebagai dalam keadaan yang tidak stabil,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img