ISU masalah air di Sabah mencetuskan polemik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Hari ini Timbalan Setiausaha Agung GRS, , Datuk Armizan Mohd Ali menepis dakwaan berulang kali yang dibuat oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa GRS adalah gabungan kerajaan gagal.
Sebaliknya kata beliau, Bung Moktar sebenarnya ‘paling gagal’ sepanjang tempohnya di Kementerian Kerja Raya negeri.
Armizan berkata, Bung Moktar yang digugurkan daripada Kabinet Datuk Seri Hajiji Noor susulan rampasan kuasa yang gagal pada 2023, terbukti tidak mampu menyelesaikan masalah air Sabah.
Beliau mendakwa, sepanjang dua tahun Ketua UMNO Sabah itu memegang jawatan Bung Moktar langsung tidak melancarkan sebarang projek utama bagi memastikan bekalan air konsisten di kawasan seperti Tawau.
‘’Malah, pembinaan loji rawatan air Cinta Mata 2 dan kerja menaik taraf di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar hanya dimulakan selepas Bung tidak lagi berada dalam kerajaan negeri.
“Sebenarnya, kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama dalam fasa pentadbiran kerana terpaksa menerima Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya yang paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.
“Takdir Tuhan menentukan Bung sebagai ‘menteri gagal’ keluar dari kerajaan negeri, membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik mula berjalan di Sabah,’’ katanya kepada pemberita di Tawau, malam tadi, lapor FMT
Armizan berkata, tidak adil juga bagi Bung Moktar menyalahkan GRS atas gangguan bekalan elektrik memandangkan kerajaan persekutuan, melalui Tenaga Nasional Bhd, memegang kepentingan majoriti dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), satu-satunya syarikat utiliti di Sabah dan Labuan.
Beliau berkata, serangan terbaru Bung Moktar ke atas GRS mungkin disebabkan kurangnya ‘faktor X’ dalam kalangan calon BN.
Armizan juga menasihati Bung Moktar membaca manifesto GRS di mana gabungan itu telah menyenaraikan pencapaiannya.
“Sebagai bekas menteri kerja raya, Bung Moktar tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa. Hakikatnya, beliau menteri yang gagal, dan penggantinya berjaya melancarkan projek-projek itu,” katanya, merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri Sementara, Shahelmey Yahya.
Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Sabah,Suhaimi Nasir dalam kenyataan berkata, masalah projek air dibangkitkan Armizan bukan disebabkan Bung Moktar sebaliknya daripada isu sistemik dan kelemahan pentadbiran negeri.
Beliau turut mendakwa, birokrasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang rumit, proses perolehan berlapis serta kelemahan penyelarasan dengan kerajaan persekutuan sudah lama menjejaskan projek kritikal.
“Masalah itu tidak berpunca daripada seorang menteri, tetapi daripada kegagalan kepimpinan utama GRS mengurus kerajaan gabungan dengan efektif,” katanya sambil mendakwa kritikan Armizan sebagai cubaan menutup kelemahan GRS.


