RESTORAN makanan tradisional Melayu, Banglo 289 memperkenalkan Bufet Ramadan 2026 dengan mengetengahkan sajian kampung autentik sepanjang Ramadan tahun ini.
Bufet bertemakan Traditional Kampung Dishes with Soul and Journey itu diperkenalkan menerusi sesi previu khas bersama wakil media dan rakan korporat di cawangan ikonik Banglo 289 di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Antara tarikan utama bufet Ramadan tahun ini adalah penyajian daging rusa yang diperkenalkan untuk tahun ketiga berturut-turut, selain ikan sungai sukar diperoleh dari Pahang seperti ikan krai, jelawat, patin dan baung.
Ketua Pegawai Eksekutif Banglo 289, Shareen Farzida Sukri berkata, penawaran menu unik dan jarang diketengahkan itu bertujuan memberikan pengalaman berbuka puasa yang lebih eksklusif dan bermakna kepada pelanggan.
“Bufet Ramadan bukan sekadar tentang kuantiti makanan, tetapi tentang rasa, kualiti dan pengalaman. Kami mahu setiap tetamu pulang dengan kenangan yang mengingatkan mereka kepada masakan kampung dan nilai kekeluargaan.
“Keunikan kami sebenarnya bukan sekadar konsep antara menu yang kami masih mengekalkan secara eksklusif adalah daging rusa dan menu yang terbaharu kami kenalkan adalah mentarang dan juga udang mantis,” katanya kepada media hari ini.

Selain itu, pengunjung turut disajikan pelbagai hidangan klasik Melayu termasuk masak lemak, asam pedas, panggang berempah, sambal tradisional, ulam-ulaman, kuih-muih tradisional serta pencuci mulut nostalgia .
Menurut beliau, bufet Ramadan Banglo 289 akan ditawarkan di tiga cawangan utama iaitu di Jalan Raja Chulan, Elmina Lakeside Mall, Shah Alam dan IOI City Mall, Putrajaya dengan tawaran tempahan awal diskaun sehingga 20 peratus atau harga serendah RM95 seorang bagi tempoh terhad.
Dalam perkembangan sama, Banglo 289 turut merancang pembukaan cawangan keempat di KLIA2 dalam masa terdekat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi penekanan kepada pengalaman budaya dan gastronomi tempatan sebagai tarikan pelancongan negara.
Bufet Ramadan Banglo 289 akan ditawarkan sepanjang bulan Ramadan 2026 di ketiga-tiga cawangan terlibat.


