BENCANA banjir di wilayah Kalimantan Selatan semakin buruk dan kini melibatkan tujuh daerah dan bandar. Ribuan penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Banjarmasin telah melaksanakan operasi pemindahan melibatkan ribuan mangsa banjir, termasuk mangsa banjir kilat di mukim Tebing Tinggi dan Awayan, daerah Balangan. Operasi turut dijalankan bagi mangsa banjir di Loksado, Kabupaten Hulu Sungai Selatan serta daerah Banjar.
Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Basarnas Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata Operasi SAR Banjir di Hulu Sungai Selatan berjaya memindahkan seramai 2,895 penduduk ke kawasan selamat selepas kediaman mereka hampir ditenggelami air.
Di Balangan pula, lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Keadaan hujan berterusan dibimbangi akan menyebabkan banjir terus bertambah buruk. Kabupaten Banjar kini menjadi kawasan paling teruk terjejas, dengan banjir melanda 93 kampung di 14 kecamatan, iaitu hampir keseluruhan wilayah kabupaten berkenaan.
Banjir telah menenggelami 6,289 buah rumah yang didiami 7,810 keluarga atau seramai 21,535 penduduk. Seramai 1,166 penduduk terpaksa dipindahkan. Kerajaan tempatan menyediakan 12 pusat pemindahan sementara serta dapur awam bagi membantu mangsa banjir.
Sementara itu, di Balangan, banjir melibatkan 18 kampung di lima mukim iaitu Tebing Tinggi, Awayan, Halong, Juai dan Paringin Selatan. Jumlah mangsa direkodkan seramai 2,500 keluarga atau lebih 6,000 penduduk.
Banjir di Kalimantan Selatan telah menjejaskan aktiviti harian serta ekonomi masyarakat. Pelbagai kemudahan kerajaan dan awam, termasuk jalan raya dan kawasan pelancongan alam semula jadi, turut mengalami kerosakan.


