SEORANG bapa dan anak lelaki berada di sebalik kejadian tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Australia termasuk penganut Yahudi yang sedang memperingati acara keagamaan Hanukkah, menurut kenyataan polis.
Pasangan itu, yang bersenjatakan raifal laras panjang, didakwa melepaskan tembakan ke arah orang awam di pantai ikonik Sydney itu pada petang Ahad, yang telah diisytiharkan sebagai insiden keganasan.
Tembakan bermula sejurus sebelum jam 6.43 petang waktu Sdyney (3.43 petang waktu Malaysia) dengan polis menyatakan bahawa pasangan itu menyasarkan acara Hanukkah, di mana kira-kira 1,000 orang Yahudi sedang berkumpul.
Salah seorang suspek penembak dilaporkan bernama Naveed Akram, lelaki berusia 24 tahun itu kini sedang dirawat di hospital, manakala bapanya ditembak mati oleh polis di tempat kejadian.
Mereka tinggal di sebuah alamat di pinggir barat Sydney, Bonnyrigg, tetapi ketika kejadian berlaku mereka sedang menetap di sebuah alamat di Campsie, di barat daya Sydney. Kedua-dua kediaman tersebut telah diserbu pihak berkuasa.
Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) mengesahkan bahawa salah seorang lelaki itu, , pernah dikenali oleh agensi perisikan domestik tersebut, namun “bukan dalam konteks ancaman segera”.
Seorang tukang batu berusia 28 tahun bernama Lochie berkata beliau telah bekerja dengan Naveed selama lima tahun.
Beliau menggambarkannya sebagai “seorang yang pelik” dan pendiam, tetapi tidak pernah menunjukkan tanda-tanda radikalisasi atau ekstremisme.
Lochie berkata Naveed pernah menghubungi bos syarikat pembinaan bata komersial di Sydney bulan lalu untuk memaklumkan bahawa akan kembali bekerja pada tahun baharu selepas mengalami kecederaan pada tangannya.
Sebelum berhenti kerja, Lochie mendakwa suspek pernah memberitahu seorang lagi rakan sekerja bahawa dia “mahu dikenang”.
“Itu satu perkara yang pelik untuk dikatakan … tetapi saya tidak berfikir panjang kerana itulah cara dia. Dia memang seorang yang pelik,” katanya.
Naveed, menurut Lochie, mengakui dirinya tidak mempunyai ramai kawan dan kebanyakannya menyendiri di tempat kerja.
Namun begitu, mereka kadangkala berbual tentang hobi suspek, yang menurut Lochie termasuk memburu, tinju dan memancing.
“Dia pernah pergi memburu arnab dan kanggaru secara rekreasi. Kami ada berbual tentang perkara itu. Tetapi ya, dia tidak pernah berkata mahu mencederakan orang atau apa-apa yang seumpamanya,’’ ,” kata Lochie
Motif serangan masih belum jelas, namun Polis NSW berkata mereka akan meneliti punca serangan tersebut dan berikrar bahawa siasatan akan dijalankan secara “menyeluruh”.
Pesuruhjaya Polis NSW, Mal Lanyon, berkata pada hari Isnin bahawa “tiada petunjuk” bahawa mana-mana lelaki yang terlibat telah merancang serangan itu lebih awal.
“Kami mahu memahami motif di sebalik kejadian ini. Kami juga mahu memahami tindakan yang telah berlaku,” katanya.
Polis berkata lelaki berusia 50 tahun itu adalah pemegang lesen senjata api yang sah, dengan enam pucuk senjata berlesen atas namanya.
Kesemua enam senjata tersebut telah diambil dari lokasi kejadian semalam.


