Bapa pelajar tahfiz rayu bantuan orang ramai kesan anaknya hilang dari madrasah

SEORANG pelajar tahfiz lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang dari Madrasah Tahfiz al-Quran Zawiyah Darul Madad di Kampung Sagil Parit 1 di Tangkak, Johor sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, Muhammad Aisy Thaqif Mohd Khalid, kali terakhir dilihat berada di pekarangan madrasah memakai jersi berwarna biru gelap dan seluar tiga suku berwarna hitam dengan garisan putih di sisi.

“Pelajar itu mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berbadan kurus dan berambut pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar berkenaan diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Amira Ibrahim di talian 011-6156 5593.

Sementara itu, bapa pelajar berkenaan, Mohd Khalid Abd Samad, 41, menaruh harapan tinggi supaya anak keduanya itu ditemukan selamat selepas pelbagai usaha dijalankan untuk mencarinya namun masih menemui jalan buntu.

“Saya cuma risau dia ikut orang tak baik. Saya berharap dia dijumpai segera,” rayu bapanya.

Menurut Mohd Khalid, berita kehilangan anaknya itu diketahui selepas dia mendapat panggilan daripada warden madrasah.

“Muhammad Aisy Thaqif belajar di madrasah itu sejak awal tahun ini. Dia tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang menuntut di situ.

“Kehilangannya disedari selepas pihak pengurusan membuat pengiraan dan mendapati seorang daripadanya (Muhammad Aisy Thaqif) tiada. Selepas dimaklumkan perkara itu, kami menggerakkan pencarian di merata tempat.

“Saya mencarinya sehingga ke Muar serta merata-rata tempat di sekitar Tangkak, namun usaha menjejaknya belum berhasil.

“Saya pada saat ini, hanya mampu berdoa semoga Allah melindunginya walau di mana dia berada serta memudahkan pencarian kami,” katanya.

Menurutnya lagi, kali terakhir dia berjumpa Muhammad Aisy Thaqif pada dua minggu lalu ketika menziarahinya di madrasah terbabit.

“Kerisauan kami pada ketika ini ialah kami bimbang jika dia mengikut individu berniat tidak baik. Kami berharap semua pihak dapat membantu mengesan Muhammad Aisy Thaqif supaya segera ditemukan,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img