PENUMPANG sebuah bas ekspres dari Johor Bahru menghala ke Seremban berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori membawa muatan dedak di Kilometer 183.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Jasin hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, bas berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun membawa seramai 10 penumpang dari Larkin menuju ke Seremban.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, lori membawa muatan dedak itu pula dipandu seorang lelaki berusia 69 tahun dari Bukit Gambir, Muar menghala ke Alor Gajah.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.45 tengah hari membabitkan dua buah kenderaan tersebut.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori yang bergerak di lorong kiri tidak menyedari kenderaan di hadapannya bergerak perlahan sebelum melanggar bahagian belakang bas berkenaan.
“Berikutan perlanggaran itu, pemandu lori mengalami luka di kepala dan tangan, manakala pemandu bas cedera ringan di kaki. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee bagaimanapun berkata, kesemua 10 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan perjalanan menggunakan bas lain.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-1112 7533 atau Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260.


