ANALISIS
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjadi semakin bebal untuk menerima hakikat bahawa dunia kini meminggirkan negara Zionis itu.
Tindakan ganas, kejam dan tidak bertamadun rejim Zionis di Gaza sejak 7 Oktober 2023 memungkinkan negara-negara yang selama ini bersekutu atau menyokong Netanyahu meninggalkan penjenayah antarabangsa tersebut.
Justeru ketika berucap di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, semalam di Parlimen Israel, Netanyahu merengek bagaikan anak kecil yang ditinggalkan oleh kawan-kawannya.
Netanyahu meluahkan kekecewaan apabila banyak negara tidak bersimpati dengan rejim Israel semasa tempoh perang dengan pejuang Hamas di Gaza.
Kenyataan itu menampakkan betapa bebalnya Perdana Menteri Israel tersebut.Dengan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, tiada siapapun yang akan menyebelahi Israel kecuali Trump dan AS.
Mungkin Netanyahu sudah pekak dan buta untuk melihat fakta bagaimana akibat keganasan tentera arahannya 67,806 rakyat Palestin dibunuh, 170,066 orang cedera, 9,500 orang hilang manakala 1.5 juta hilang tempat tinggal.
Lebih bebal lagi, apabila Netanyahu lantang menuduh banyak kerajaan terpengaruh dengan propaganda Hamas dan desakan kumpulan antisemitik di negara masing-masing.
Propaganda apa? Dunia menyaksikan sendiri bagaimana dahsyatnya rejim Zionis menghancurkan bandar Gaza, dunia melihat bagaimana kejamnya Zionis melakukan serangan tanpa mempedulikan nyawa penduduk tidak berdosa termasuk bayi, kanak-kanak dan wanita serta orang tua.
Yang mencipta propaganda ialah Netanyahu dan Kabinetnya yang menghalalkan pembunuhan ke atas orang awam atas alasan ada Hamas di situ. Habis semua sekolah, hospital dan rumah penduduk dihancurkan oleh Zionis dengan dakwaan bodoh, premis-premis tersebut menjadi tempat perlindungan atau bilik operasi Hamas.
“Tekanan diplomatik telah berbalik arah …banyak kerajaan tunduk kepada tekanan daripada kumpulan perusuh antisemitik di negara masing-masing…mereka beralih menentang Israel,” katanya semasa menerima lawatan Trump di Knesset, Parlimen Israel.
Hakikatnya, mereka yang menentang Israel bukannya antisemitik tetapi mereka hanya menentang rejim Zionis. ‘Antisemitik dan Hamas’ bagaikan ‘password’ digunakan Netanyahu selama ini bagi menutupi kekejaman serta tindakan ganas terhadap rakyat Palestin.
Kenyataan Netanyahu bahawa pemimpin negara lain turut mendesak rejimnya untuk tunduk kepada tuntutan Hamas sehingga akhirnya Israel akur dengan tuntutan tersebut sekali lagi membuktikan kejahilan dan kebebalan Perdana Menteri itu.
Bukankah selama ini Netanyahu dengan bongkaknya enggan menerima sebarang pandangan dan nasihat serta desakn supaya menghentikan peperangan tersebut? Bukankah selama ini Netanyahu begitu sombong sekali mengenepikan apa juga seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?
Sebenarnya, Netanyahu tidak dapat menerima hakikat bahawa rejim Zionis sudah kalah dalam peperangan dengan Hamas. Akibat peperangan itu ia memberi kesan yang besar kepada beliau dan Israel. Atas sebab itulah beliau mencari alasan dan hujah bodoh bagi menutupi kegagalannya.
Sementara beliau semakin hilang sokongan politik, tindakan Netanyahu juga bukan sahaja menjemput derita kepada rakyat Palestin malah rakyatnya sendiri sengsara apabila hidup dalam ketakutan dan sesetengah melarikan diri ke luar negara.
Malah akibat kekejaman yang dilakukan di Gaza, Israel kini bukan sahaja berhadapan dengan Hamas tetapi Hizbollah di sempadan utara (Lubnan) dan pejuang Islam disokong Iran di Syria dan Yemen.
Seterusnya Netanyahu berhujah, ‘’Mereka mendesak agar kami menyerah kepada tuntutan Hamas, untuk segera keluar dari Gaza, menamatkan perang tanpa sebarang komitmen untuk melucutkan senjata Hamas dan Israel akhirnya tunduk kepada tuntutan tersebut.’’
Soalnya Gaza milik siapa? Hamas berhak berada di Gaza kerana itu bumi Palestin! Netanyahu mungkin sengaja buat-buat buta sejarah kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa Israel adalah tentera penjajah yang menceroboh wilayah Palestin!
Dalam ucapan beliau, Netanyahu, berkali-kali merakam penghargaan kepada Trump atas kepimpinan dan peranannya dalam mengemukakan Pelan 20 Perkara yang beliau (Trump) cadangkan dan mendapat sokongan hampir seluruh dunia.
“Trump ialah sahabat terbesar yang pernah dimiliki oleh Israel di White House, tiada seorang pun Presiden Amerika Syarikat yang pernah berbuat lebih banyak untuk kami,” kata beliau.
Sememangnya Netanyahu akan memuji Trump kerana Presiden AS itu yang menyelamatkan maruah dan air mukanya kerana kalah di Gaza. Pelan Damai itu hanyalah perancangan halus untuk menutupi kegagalan Netanyahu di Gaza.
Lagipun tiada apa lagi yang Israel boleh lakukan di Gaza selepas membunuh puluhan ribu rakyat Palestin dan menghancurkan bandar itu sehancur-hancurnya manakala Hamas tetap juga tidak boleh dikalahkan.
Pelan damai adalah helah terbaik untuk menutup malu Netanyahu yang sebelum ini begitu angkuh menyatakan tidak akan berundur dari Gaza selagi Hamas tidak dihapuskan sepenuhnya.
Tamparan lebih hebat kepada Netanyahu apabila sebaik sahaja menaiki Air Force untuk berlepas pulang ke Washington dari Tel Avin, Trump mengesahkan telah memberi kelulusan sementara kepada Hamas untuk menjaga keselamatan Gaza. Keputusan itu bermakna Netanyahu sudah kalah total kepada Hamas…patutlah bebalnya semacam saja!
UNDILAH |


