SISTEM bekalan elektrik negara kekal stabil dan terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global susulan krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya sedang memantau secara rapi perkembangan semasa termasuk penutupan laluan di Selat Hormuz oleh Iran pada 2 Mac lalu yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Bagaimanapun katanya, perkembangan berkenaan tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara setakat ini.
Menurutnya, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia menggunakan sekitar 40 hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama.
“Sebahagian besar bekalan gas itu diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh, Terengganu serta kawasan pembangunan bersama Thailand-Malaysia Joint Development Area (JDA).
“Sehubungan itu, bekalan gas dalam negara ketika ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai tarif elektrik, beliau berkata, kerajaan melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027 komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.
Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran.


