Bekas menteri disiasat dakwaan terima rasuah RM5 juta dan hadiah sebuah Lamborghini

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan daripada seorang bekas menteri berhubung dakwaan menerima wang rasuah berjumlah RM5 juta dan sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.

Ahli politik berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM berkaitan kes itu yang melibatkan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara yang bernilai jutaan ringgit ketika beliau menjadi menteri.

Difahamkan, wang rasuah tersebut berkaitan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara manakala kereta mewah itu pula diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.

Menurut sumber, berdasarkan maklumat diterima SPRM, bekas menteri itu menerima wang kira-kira RM5 juta daripada sebuah syarikat pemaju.

“Bekas menteri terbabit hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi dirakam keterangan dan siasatan kini mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.

“Bagi kes tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau dipindah milik kepada satu syarikat proksi,” katanya, lapor BH.

Menurut sumber itu lagi, seramai 16 saksi yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era Covid-19 kini berada dalam fokus siasatan terbaharu SPRM.

Bekas pemimpin terkenal itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu, kini berada dalam radar siasatan suruhanjaya itu ekoran dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat dalam sebuah kementerian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img