BEKAS Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.12 juta
Hafizuddeain, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM2,122,400 yang dikreditkan ke dalam akaun banknya dalam empat transaksi berasingan masing-masing berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025 di dua buah bank di Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai hasil terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Hafizuddeain diwakili peguam Aizul Rohan Anyar dan Kausar Khairi.
Terdahulu, Hakim Azura menetapkan Hafizuddeain diikat jamin RM300,000, namun Aizul berkata jumlah itu terlalu tinggi dan merayu dikurangkan kepada RM100,000.
Aizul beritahu mahkamah bahawa akaun Hafizuddeain telah dibekukan dan beliau kini memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM15,000 sebagai pesara, selain merayu mahkamah mengambil kira tempoh perkhidmatan tenteranya selama 40 tahun, termasuk penugasan di Bosnia Herzegovina.
Hakim Azura kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac bagi penyerahan dokumen.
Beliau turut memerintahkan Hafizuddeain melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan serta menyerahkan pasport hingga kesnya selesai.


