Bekas pegawai MARA dihadapkan ke mahkamah atas 25 pertuduhan pecah amanah libat RM15,892

SEORANG  bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Muar, hari ini, atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman empat individu berjumlah RM15,892 sejak lima tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, yang baru selesai tempoh berpantang, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang bayaran balik pinjaman MARA yang didepositkan oleh empat peminjam, iaitu Muhammad Zakaria Rahmat, 41; Haslinda Hanapi, 46; Mohd Izar Md Zan, 45; dan Hamidah Mohd Zain, 55, ke dalam akaun peribadinya,lapor Buletin Utama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat MARA Daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda, jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada pegawai atasan MARA berhubung keraguan terhadap pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan melibatkan empat skim di bawah agensi berkenaan.

Hasil siasatan mendapati mangsa membuat bayaran pinjaman dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh, kononnya bagi memudahkan urusan tanpa perlu hadir ke kaunter.

Perbuatan itu terbongkar selepas tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa mendakwa menerima surat tunggakan bayaran balik pinjaman daripada MARA.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan dan diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Kes disebut semula pada 8 April ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, tertuduh akan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi menghadapi baki 41 lagi pertuduhan berkaitan kes berkenaan.

Secara keseluruhan, Nor Hasmal Hazwani berdepan 66 pertuduhan melibatkan sembilan mangsa dengan jumlah kerugian RM59,352.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img