Benteng ‘silt pond’ pecah disahkan punca pencemaran Sungai Johor 31 Oktober lalu

INSIDEN  pencemaran Sungai Johor pada 31 Oktober lalu sehingga menyebabkan lebih 400,000 akaun pengguna air terjejas adalah berpunca daripada benteng  silt pond (kolam penangkap sedimen) di kawasan perlombongan pasir pecah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, berikutan itu ia menyebabkan aliran air berlumpur daripada silt pond mengalir secara graviti ke alur air berhampiran kawasan kolam.

 ‘’Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat berhubung kejadian pencemaran air Sungai Johor berwarna putih di Loji Rawatan Air (LRA) Linggiu daripada pegawai Ranhill SAJ.

‘’Kejadian itu berisiko menjejaskan operasi beberapa LRA iaitu LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB Singapura,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) berhubung pencemaran teruk di Sungai Johor itu yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Mengulas lanjut Johari berkata, berikutan itu siasatan telah dijalankan pada pukul  11 pagi, hari yang sama aduan diterima bagi mengenal pasti punca pencemaran air sungai berkenaan.

‘’ Siasatan turut dihadiri oleh agensi-agensi berkaitan iaitu Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Ranhill SAJ, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk  memantau kejadian serta tindakan lanjut berdasarkan bidang kuasa masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan oleh JAS mendapati aktiviti perlombongan pasir tersebut diusahakan oleh sebuah  syarikat.

‘’Sehubungan itu BAKAJ mengeluarkan arahan di lapangan kepada syarikat berkenaan agar memberhentikan semua aktiviti perlombongan sehingga maklum balas rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa  tersebut,’’ katanya.

Johari menjelaskan, berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sebarang aktiviti perlombongan pasir yang melebihi 20 hektar perlu menjalankan kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan laporan EIA tersebut harus mendapat kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling terlebih dahulu sebelum projek dilaksanakan.

Bagaimanapun kata beliau, kawasan perlombongan pasir yang diusahakan oleh syarikat tersebut  adalah kurang 20 hektar, oleh itu ia perlu dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian atau Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan permit.

‘’Pihak syarikat perlu mematuhi syarat-syarat sebagaimana ditetapkan di dalam permit tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, di bawah program pengawasan kualiti alam sekitar yang dijalankan oleh JAS, terdapat sebuah stesen pengawasan kualiti air sungai automatic ditempatkan di Sungai Johor (CR20J).

‘’ Stesen ini bertujuan untuk memantau kualiti air di hulu muka sauk Loji Rawatan Air Semanggar.Berdasarkan data yang dicerap di stesen CR20J, didapati bahawa bacaan bagi parameter kekeruhan semasa insiden pencemaran adalah tinggi,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img