SEORANG pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana memandu kereta secara berbahaya.
Tertuduh, Chew Tiong Han, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni, lapor Harian Metro Online.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu memandu secara berbahaya kepada orang awam mengambil kira segala hal keadaan di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, 6.30 petang, 23 September lalu.
Oleh itu, Chew didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum lima tahun dan didenda tidak lebih RM15,000 serta butir-butir sabitan akan diendorskan pada lesen memandu yang dipegang dan hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib memohon jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Gurusharonjit Kaur yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan dengan mengambil kira dia menanggung nafkah anaknya walaupun sudah bercerai dan bapa yang mempunyai sakit jantung.
Mendengar perkara itu, Khairunnisak menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan 18 November ini sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan pemandu e-hailing yang tular ditahan polis pada jam 8.15 pagi.
Pemandu itu ditahan selepas nyaris melamggar seorang pejalan kaki melintas jalan ketika lampu isyarat merah.


