BRN hanya mahu peperangan bukan keamanan

Oleh Penulis Khas

KALAULAH terdetik hati mana-mana penduduk Islam di Selatan Thailand bahawa Barisan Revolusi Nasional (BRN) adalah pejuang dan pembela nasib mereka…lupakan sahaja.

Keganasan demi keganasan yang terus menggegarkan dan sekaligus meragut kedamaian serta keamanan wilayah itu menjadi bukti bahawa pemimpin BRN bukanlah berjuang untuk kesejahteraan penduduk Islam tetapi kepentingan peribadi mereka.

Atas sebab itulah proses rundingan damai gagal kerana BRN tidak pernah dan tidak mungkin akan ikhlas menjayakan proses tersebut demi kepentingan penduduk Islam. Mereka lebih seronok mahu melihat wilayah Selatan Thailand terus huru-hara dan penduduknya hidup dalam ketakutan.

Jika ada mana-mana penduduk mencari rezeki secara halal dengan menjadi kakitangan kerajaan, mereka akan dianggap tali baru pemerintah Thailand dan akan dibunuh oleh BRN. Sememangnya pemimpin BRN pandai bersandiwara dengan memaparkan seolah-olah merekalah pejuang yang mahu memerdekakan Pattani. Pada masa sama mereka juga membuat propaganda bahawa penduduk Islam ditindas oleh pemerintah Thailand.

Sebenarnya yang sedang menindas penduduk Islam bukannya pemerintah Thailand tetapi BRN! Ia memandangkan BRN menolak apa sahaja permintaan pemerintah Thailand bagi menjayakan proses damai. Sehingga ke hari ini mereka tidak menghantar pemimpin sebenar untuk berunding.

Sebaliknya mereka terus kekal dengan keputusan menghantar wakil yang tidak ada apa-apa kuasa. Apabila rundingan gagal mereka salahkan pemerintah Thailand. Inilah perangai buruk pemimpin BRN yang majoriti tinggal di luar negara tetapi berlagak seolah-olah mereka sanggup bersusah payah dengan penduduk dan sedang berjuang di tanah air sendiri.

Berdasarkan sikap BRN itu penulis secara peribadi berpendapat adalah mustahil untuk pemerintah Thailand mencapai apa-apa persetujuan dengan puak pemisah berkenaan. Ia kerana BRN tidak ada niat pun mahu memastikan proses damai itu berjaya. Disebabkan sikap itulah ia memungkinkan Selatan Thailand terus bergolak.

Kalau BRN ikhlas sudah pasti mereka akan berusaha dengan sedaya upaya mencari titik persefahaman dengan pemerintah Thailand untuk mendamaikan Selatan Thailand. BRN tidak ikhlas, mereka terus merasakan melalui keganasan sahaja impian mereka boleh dicapai. Sebenarnya bukannya mahu mencari kedamaian di wilayah itu tetapi mahu mencetuskan peperangan yang berterusan.

Berikutan itulah mereka mengekalkan panel rundingan sedia ada walaupun pemerintah Thailand sudah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa BRN mesti hantar pemimpin yang boleh membuat keputusan untuk berunding. Selain itu mereka juga mengarahkan keganasan diteruskan di wilayah selatan dan sasaran mereka ialah anggota keselamatan dan penduduk yang dianggap tali barut kepada pemerintah.

Puak pemisah terus melakukan serangan bagi menggugat keamanan di Selatan Thailand.

Adalah sesuatu yang malang, ketika penduduk amat mengharapkan kedamaian bagi membolehkan mereka mencari rezeki secara aman, BRN terus bertindak kejam dengan membunuh penduduk tidak berdosa, melancarkan serangan bom dan merosakkan infrastruktur yang disediakan untuk rakyat.

Penulis tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri baharu Thailand Anutin Charnvirakul dalam menangani rundingan dengan BRN, tetapi yang pastinya beliau juga akan menghadapi masalah seperti mana Perdana Menteri -Perdana Menteri Thailand terdahulu.

Rundingan gagal bukannya kerana tiada komitmen daripada pemerintah Thailand tetapi disebabkan sikap dan perangai buruk BRN yang tidak habis-habis mencipta masalah sehingga akhirnya proses rundingan tidak sampai ke mana.

Ia terutamanya ketidakseriusan dan ketidakjujuran BRN yang enggan menghantar pemimpin sebenar yang boleh membuat keputusan turut serta dalam Tim Rundingan Damai. Selain itu, BRN sebelum ini melihat rundingan sebagai salah satu alat bagi melengahkan masa dan berunding untuk manfaat kepada kumpulan mereka sendiri.

Oleh itu apabila difahamkan BRN meminta Perdana Menteri baharu Thailand serius dalam proses damai itu, penulis menganggap BRN hanya bersandiwara. Mereka mahu tunjuk kepada penduduk Islam kononnya bersedia berunding demi kebaikan golongan itu tetapi hakikatnya merekalah pemusnah rundingan damai.

Justeru itulah penulis berpendapat, pemerintah Thailand hanya membuang masa berunding dengan puak tidak ikhas seperti BRN. Kalau hendak berunding juga, sudah sampai masanya pemerintah Thailand memberi syarat ketat kepada BRN. Antara syarat paling utama ialah BRN mesti hantar pemimpin sebenarnya untuk berunding dan semua serangan hendak dihentikan sehingga proses rundingan damai dicapai.

Adalah tidak wajar jika proses rundingan damai  hanya sekadar sandiwara BRN untuk berdamai sedangkan mereka tidak ada niatpun ke arah itu. Mungkin atas sikap itu juga, mereka sengaja tidak menghantar pemimpin sebenarnya mereka ke meja rundingan. Melalui cara itu mereka tahu, rundingan akan gagal, maka mereka boleh meneruskan agenda jahat menghuru-harakan Selatan Thailand.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img