Oleh Penulis Khas
PENDUDUK Selatan Thailand masih menderita akibat banjir besar melanda wilayah itu sejak akhir bulan lalu. Kerugian ditafsirkan mencecahkan 500 bilion baht (kira-kira RM64.5 bilion), lebih 2.9 juta penduduk terjejas dengan lebih 1 juta keluarga direkodkan mengalami kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal atau gangguan akses asas.
Wilayah Songkhla, termasuk bandar komersial Hat Yai, mencatatkan jumlah tertinggi dengan kira-kira 369,000 buah rumah terjejas. Hampir semua daerah dilanda banjir, menenggelamkan kawasan perumahan dan pusat ekonomi setempat.
Nakhon Si Thammarat pula melaporkan lebih 147,000 rumah terkesan, manakala Pattani, Narathiwat dan Yala turut merekodkan puluhan ribu kediaman rosak. Di Satun, kesan banjir memusnahkan kedai-kedai kecil, infrastruktur asas serta kawasan pelancongan.
Tetapi adakah anda fikir puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan bersimpati kepada penduduk Islam yang kononnya selama ini mereka pejuangkan? Ternyata naluri kemanusiaan BRN semakin terhakis apabila ketika Selatan Thailand ‘masih berkabung’ dan sedang bertungkus lumus untuk bangkit semula, BRN melancarkan serangan ganas mereka.

Serangan pertama dilakukan pada 5 Disember di Mukim Tha Nam, Panarik, Pattani apabila Muktakin Domen – anak Penolong Ketua Kampung Mu 3, mati ditembak oleh puak pemisah kira-kira pukul 1.30 petang, kira-kira lapan jam kemudian mereka mengganas pula di Nong Chik, Pattani apabila mereka menembak mati anggota polis Sarjan Mejar Chuankhid Pitak ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Kedua-dua kejadian itu, menampakkan seolah-olah sikap perikemanusiaan dan naluri belas ehsan sudah tercabut daripada pemimpin-pemimpin BRN. Sudahlah ketika bencana berlaku mereka tidak melakukan apa-apa untuk membantu penduduk Selatan Thailand dengan memberi pelbagai alasan, kini bila penduduk tengah kelam kabut mahu memulihkan kehidupan, BRN kembali menyambung kesengsaraan untuk penduduk berkenaan.
Paling malang, tindakan kejam mereka itu dilakukan ketika pemerintah Thailand melalui pelbagai agensi kerajaan sedang bertungkus lumus memulihkan kembali keadaan di wilayah itu.
Terlalu banyak masalah yang harus diselesaikan dan terlalu banyak tindakan yang perlu dilakukan bagi membolehkan wilayah berkenaan kembali seperti sedia kala. Tetapi puak pemisah tidak memikirkan itu semua…mereka terus dengan kegilaan untuk mencetuskan keganasan dan membunuh penduduk tidak berdosa.
Tindakan BRN itu menunjukkan hakikatnya mereka tidak pedulipun apa juga yang berlaku kepada penduduk Islam di wilayah berkenaan. Sama ada bencana atau tidak, aman atau tidak…yang penting bagi mereka ialah meneruskan agenda songsang kononnya mahu memerdekakan Pattani.
Sepatutnya kalaupun tidak mahu membantu penduduk Islam menghadapi bencana tersebut tetapi sekurang-kurangnya janganlah melakukan keganasan apatah lagi membunuh mana-mana individu.
Tetapi situasi itu tidak berlaku kerana pemimpin-pemimpin BRN yang hidup senang lenang di luar negara tidak peduli itu semua. Dalam keadaan bencana, mereka masih mahu menunjukkan kononnya ada kekuatan melawan pemerintah Thailand.
Sememangnya itulah perangai puak pemisah, sama seperti mana PULO yang ibarat mahu ‘tumpang semangkuk’. Ketika penduduk Pattani sedang bertarung dengan maut akibat bencana alam, mereka muncul untuk menonjolkan kononnya mereka juga adalah pejuang yang mahu membebaskan wilayah itu.
Untuk menunjukkan kononnya mereka berpengaruh disebarkan gambar Presiden PULO, Kasturi Mahkota menghadiri satu mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneca
Motif mereka ialah untuk menunjukkan kepada dunia khususnya pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai fasilitator bahawa PULO juga perlu dipanggil bersama untuk menyertai proses rundingan damai.
Hakikatnya, hasrat itu bukannya ikhlas demi penduduk Islam tetapi semata-mata demi kepentingan peribadi. Kalau mereka ikhlas berjuang untuk penduduk berkenaan, tidak kiralah sama ada PULO atau BRN, mereka pasti faham sekarang bukannya masa untuk menonjol diri atau melakukan keganasan.
Sekarang adalah masa untuk memulihkan Selatan Thailand yang kini berhadapan dengan kemusnahan akibat bencana alam dan memerlukan sokongan serta bantuan semua pihak untuk bangkit semula.
Justeru kedua-dua puak pemisah itu perlu menghentikan mainan politik mereka ketika penduduk Islam tengah sengsara. Berilah laluan kepada pemerintah Thailand yang dituduh penjajah oleh puak berkenaan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan yang sah kepada wilayah berdaulat miliknya.


