SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Kemayang di Bachok, Kelantan hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, Muhamad Irfan Mohd Afendi, dipercayai dihanyutkan oleh ombak besar dan gagal dikesan walaupun cuba diselamatkan ahli keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam ini.
“Sepasukan anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) dari BBP Bachok segera ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut beliau, setiba di lokasi pihaknya mendapati seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di pantai tersebut.
Katanya, anggota terlibat kemudian melakukan operasi mencari di permukaan untuk mengesan kanak-kanak terbabit.
“Pada jam 7.42 malam, kami telah meminta bantuan daripada PPDA BBP Pengkalan Chepa untuk mencari kanak-kanak itu namun masih belum ditemukan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Suzilawati Nor Rashid, 24, memberitahu, semasa kejadian dia ada ternampak kanak-kanak terbabit sedang mandi bersama adiknya yang berusia 12 tahun.
“Ketika kejadian ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu ada berhampiran lokasi. Sekitar jam 6.45 petang, ibu kepada kanak-kanak berkenaan telah memanggil anaknya.
“Sewaktu kanak-kanak itu mahu naik ke darat, dia tiba-tiba telah ditarik oleh ombak kuat. Bapa kepada kanak-kanak itu berusaha menyelamatkan anaknya, tapi gagal kerana ombak terlalu kuat,” katanya.


