Bukit Aman sahkan lelaki Malaysia ditahan di Thailand miliki empat rekod lampau berkaitan dadah

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 75 kilogram ketamin minggu lalu mempunyai empat rekod lampau serta dipercayai menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah rentas negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menyelaras siasatan dengan Polis Thailand untuk mengesan saki-baki ahli rangkaian yang dipercayai bergiat aktif dalam negara.

Beliau berkata, polis kini mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

“Semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau. Selain itu, polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama,” katanya ketika mengulas susulan kes berkenaan dalam sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di Klang, hari ini, lapor Sinar Harian.

Katanya, pihak berkuasa Thailand memiliki asas kukuh untuk mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang telah dikumpulkan dan proses undang-undang di negara itu sedang berjalan.

“Mengenai kes yang sedang disiasat pihak Thailand, kita menunggu proses undang-undang di negara tersebut, mereka mempunyai keterangan untuk mendakwa suspek di sana.

“Lazimnya bagi kes berkaitan dadah, negara yang membuat tangkapan akan menjalankan pendakwaan, jadi kita menghormati proses undang-undang Thailand,” katanya.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh dari Thailand turut digunakan PDRM untuk meneliti struktur rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

“Bagi rangkaian sindiket yang turut beroperasi di Malaysia, PDRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya.

Media Thailand sebelum ini melaporkan suspek berusia 25 tahun ditahan dalam operasi oleh Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand bersama-sama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di Selatan Thailand.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img