AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, yang menegaskan bahawa sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Baru mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan jangka masa panjang.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, titah Tuanku Sultan Sharafuddin ini jelas memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keresahan serta suara hati rakyat dalam isu-isu yang melingkari prihal pembangunan Kampung Baru, terutamanya dalam konteks kelangsungan dan maruah orang Melayu.

‘’Inilah jua pendirian Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional, yang mana kami telah suarakan secara tegas bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baaru harus mengambil kira kepentingan dan mengekalkan demografi asal penduduk di sana,’’katanya dalam kenyataan hari ini.
Sultan Selangor melalui kenyataan media baginda bertitah, mahu agar isu Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Sultan Sharafuddin juga menegaskan, baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampng Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.


