MAHKAMAH Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan sebahagian rayuan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya berhubung sekatan yang dikenakan oleh FIFA atas kes pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan pemain.
Dalam satu kenyataan, CAS memutuskan bahawa ketujuh-tujuh pemain dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun sekatan itu hanya melibatkan perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut menjelaskan bahawa tempoh penggantungan bermula pada 5 Mac 2026, tetapi pemain diberikan kredit bagi tempoh 25 September hingga 26 Januari kerana dalam tempoh tersebut mereka sudah pun tidak beraksi.
Pada masa sama, CAS menolak rayuan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap denda 350,000 franc Switzerland (sekitar RM1.8 juta) yang dikenakan oleh FIFA.
Tujuh pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca,Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel
FIFA sebelum ini menjatuhkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain naturalisasi selepas badan bola sepak dunia itu mendapati dokumen yang dihantar untuk mengesahkan kelayakan pemain didakwa dipalsukan.
Dokumen tersebut digunakan sebelum perlawanan kelayakan 2027 AFC Asian Cup menentang Vietnam pada 10 Jun.


