AHLI Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan yang disiasat berhubung dakwaan rasuah berkaitan usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah akan didakwa Isnin ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam.
“SPRM telah mendapat izin mendakwa kedua-dua suspek berkenaan.
“Ahli Parlimen tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan satu pertuduhan iaitu bersubahat menerima rasuah, manakala ahli perniagaan itu pula akan didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Azman dalam kenyataan melalui video di Facebook beliau, Azman mengesahkan beliau ditahan SPRM bagi tujuan pertuduhan berhubung projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.
Bagaimanapun Azman mempersoalkan pertukaran statusnya daripada saksi kepada tertuduh dalam kes tersebut.
Azman menjelaskan pada 25 lalu, beliau telah dipanggil ke Pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan berkaitan projek feedlot di bawah Kedah Agro.
Namun pada Khamis lalu, Azman berkata, beliau dihubungi pegawai penyiasat SPRM Kedah untuk bertemu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh arah utara, sebelum dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur.


