”Datuk Seri, lupakah perjuanganmu dulu…mansuhkanlah DLP!”

 

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

Warkah terbuka untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Seri,

Pesanan Datuk Seri baru-baru ini mengenai usaha memperkukuhkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan  bahasa lain amat dialu-alukan.  Tepat dan benar sekali.  Tiada salahnya kenyataan itu melainkan benar belaka.

Malah sejak 1960-an,  berpuluh tahun dahulu, itulah juga seruan para pejuang bahasa dan nasionalis di negara ini.  Tiada seorang pun yang terdengar meminta agar bahasa Inggeris, Mandarin atau mana-mana bahasa yang ada di bumi ini dibuang atau diharamkan dipelajari dalam sistem pendidikan negara ini.

Mereka sentiasa sedar semua bahasa adalah kurniaan Tuhan yang wajib disyukuri dan diraikan oleh kita.   Yang diminta hanyalah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa rasmi dalam amalan seperti dalam Perkara 152, diperteguh sebagai bahasa penghantar ilmu bagi semua bidang dan semua institusi pendidikan di negara ini tanpa sebarang pengecualian.  Bukannya catatan 152 dibiar sepi dalam halaman buku perlembagaan sahaja.

Satu sahaja pengecualian diberi bermakna kita membuka ruang, membenarkan pengkhianatan terhadap bahasa kebangsaan.  Ini juga adalah benar belaka. Jangan lupa Datuk Seri, musuh bahasa Melayu sentiasa mencari peluang seumpama itu sejak dulu, kini dan selamanya. Jerat tidak pernah lupa akan mangsanya.

Kita tidak mahu sebarang cakap-cakap kosong atau retorik semata-mata sebagai pemanis dan halwa telinga. Bahasa Melayu tetap dimartabat? 70 tahun menjadi bukti bagaimana bahasa kebangsaan dikhianati dalam pasang surut selama ini oleh pemimpin kanan negara, para menteri, agensi kerajaan sendiri, apatah lagi swasta.

Bangkai gajah tak mungkin ditutup dengan nyiru.  Banyak rahsia terbuka yang terdedah dengan sengaja dan tidak sengaja.

Kami  percaya dan masih mendengar banyak bahasa Inggeris diguna dalam  urusan rasmi, mesyuarat rasmi kementerian dan jabatan malah difahamkan mesyuarat Kabinet pun (yang Datuk Seri ada di dalamnya (?) tentunya urusan rasmi) masih berlangsung  tanpa rasa bersalah dan berdosa kerana tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Sedangkan di luar dewan mesyuarat ironi sungguh, berdegar-degar bergema suara pemimpin nyaring menyeru bahasa kebangsaan wajib digunakan dalam setiap urusan rasmi.

 Benarkah yang didengar ini semuanya benar belaka? Hatta di Dewan Rakyat, kepalanya juga kerap dengan bahasa ‘sekerat ular sekerat belut’ tanpa rasa bersalah walaupun  disaksikan oleh rakyat melalui siaran langsung.

Para pejuang bahasa dan mereka yang insaf dan sedar tentang bumi yang dipijak juga telah lama turut mendesak agar diperbaiki kurikulum bahasa Inggeris, buku teks dan bahan bantu pengajaran tanda menyokong segala usaha memperteguh penguasaan kemahiran bahasa Inggeris asalkan bahasa Melayu tidak dijadikan korban atau kambing hitam.

Penggunaan teknologi turut disaran tetapi sejauh manakah telah diberi perhatian oleh pakar bahasa Inggeris dan  Kementerian Pendidikan sendiri? Malangnya teks luar negara (Sepanyol?) dengan budaya dan bahan berbeza yang diimport masuk.

Malangnya lagi yang asyik diusik ialah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.  Maka bahasa Melayu berterusan menjadi korban.

 Mula-mula PPSMI. Dimansuh PPSMI, datang pula DLP tanpa mengambil kira rasional bantahan para pakar bahasa, pakar pedagogi dan pendidikan serta bantahan rakyat.

Mengenai  bahasa Mandarin pula, telah bertahun dicadangkan agar Mandarin turut diajar di semua  sekolah kebangsaan dan menengah seluruh Malaysia agar menjadi bahasa pilihan utama selain bahasa Inggeris dan Arab.   Ini dapat menjadi nilai tambah positif bagi sekolah kebangsaan.

 Tetapi seperti itu juga, sejauh mana pihak yang bertanggungjawab dan kementerian berkenaan berkerja keras mengorak langkah ke arah merealisasi cadangan tersebut?

Datuk Seri,

Justeru rungutan banyak pihak tentang isu bahasa Melayu ada benarnya.  Ada asasnya.

  Rakyat yang insaf melihat banyak bukti hidup iaitu setelah hampir 70 tahun masih terdapat banyak golongan yang menolak bahasa Melayu, bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi negara sendiri, sebagai bahasa penghantar pendidikan seperti kumpulan Dongzong dan Dong  Jiau Zong.

  Penekanan terhadap bahasa golongan sendiri khususnya Mandarin  seolah-olah bahasa tersebut terancam atau akan diharamkan daripada dipelajari di mana-mana institusi pendidikan di negara ini.

Sedangkan bahasa Mandarin tetap boleh diajar dan dipelajari seperti yang diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan.  Tiada sebarang bantahan atau isu tentang hal ini.

Kerap juga kelihatan seolah-olah ada ugutan halus agar tiada paksaan bagi penggunaan bahasa Melayu walaupun amat wajar dan munasabah.   Secara jujur jelas terlihat rasa kurang senang terhadap  bahasa kebangsaan.

Jika selesa mengapakah 70 tahun pun masih enggan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar di SJKC dan dalam pendidikan UEC?   Semua subjek termasuk Sejarah negara sendiri pun tidak mahu dan tidak rela dipelajari dalam bahasa kebangsaan.

Justeru janganlah melenting jika dikatakan hal ini boleh memberi persepsi atau tanda, bukti bahawa bahasa kebangsaan ditolak mentah-mentah oleh golongan tersebut? Apakah ini satu sikap yang rasional dan wajar?

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ingatlah bahawa bahasa seperti juga agama Islam bukanlah isu yang kecil.  Bahasa adalah maruah bangsa di Malaysia dan maruah negara.

 Ingatlah sejarah perjuangan bahasa era 1960-an dan 1970-an.  Akibat mempertikai Penyata Rahman Talib 1961 dan Akta Pelajaran 1961 berkaitan  bahasa kebangsaan yang didakwa boleh mengancam pendidikan Cina, Lim Lean Geok telah dilucut kewarganegaraan  oleh kerajaan ketika dengan restu Perdana Menteri yang sangat lembut hatinya.

Datuk Seri,

Tun Abdul Rahman Ya’kub, Menteri Pelajaran pada tahun 1969 pula  sangat tegas dan disegani dengan beraninya memansuhkan bahasa Inggeris sebagai

bahasa penghantar pendidikan di sekolah dan universiti kepada bahasa Melayu melalui pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.   Perubahan dasar tersebut memberi peluang bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi. Terbukti hampir tiga dekad. Tetapi kini hancur semula. Dan sedang pulih?

Sehingga kini dan mungkin tiada lagi Menteri Pendidikan yang setegas dan seberani itu akan muncul dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu.  Semoga rohnya dirahmati Allah.

Bahasa kebangsaan terlalu mahal maruah dan martabatnya untuk dijual beli sebagai pertaruhan undi.  Justeru jangan sekali-kali tunduk kepada desakan golongan kiasu yang seolah-olah tidak sedar di mana bumi dipijak dan langit dijunjung.

Datuk Seri,

Sepatutnya tiada bantuan diberi walaupun secara one-off” kerana itu boleh memberi isyarat yang salah kepada pihak berkenaan.

  Langgarlah apa saja termasuk sistem pendidikan kebangsaan, tiada salahnya malah anda tetap dibantu?  Selama 70 tahun untuk berhikmah sudah melewati batasan rasanya.   Apatah lagi kepada sekolah menengah persendirian yang umumnya mewah dan punya penaja golongan kaya.

Subjek Sejarah dalam sistem UEC wajib dipelajari dalam bahasa Melayu dan subjek Bahasa Melayu di SJKC wajib dilaksanakan dengan kurikulum yang sama seperti dalam sekolah kebangsaan agar penilaian juga setaraf dan benar-benar berkualiti dan bukan seperti sekarang dengan kurikulum dan taraf yang berbeza yang turut memberi kesan negatif dari segi pencapaian dan penguasaan bahasa Melayu akibat perbezaan setaraf tersebut.

Datuk Seri,

Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyidin Yassin, bukanlah seorang pejuang bahasa tetapi dengan beraninya memansuhkan dasar PPSMI yang “membunuh” upaya bahasa Melayu, cuma kaedahnya kurang tepat (secara “softlanding) sehingga  (kononnya Program (?) bukan Dasar, DLP menyelinap dalam sistem pendidikan dengan senyap dan beransur).

Manakala Perdana Menteri sebelumnya pula dengan langkah yang amat tidak bijak telah mengorbankan akta yang berpotensi menyelamatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan dalam sistem pendidikan negara ini. Lebih malang beliau jugalah yang merestui dasar PPSMI yang penuh malapetaka tersebut.  Akhirnya PPSMI dan beliau turut kecundang.

Datuk Seri,

Sebagai Perdana Menteri, tuan hamba ternampak berusaha membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang dengan membanteras segala bentuk penghalang kecemerlangan terutama rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.  Bukan sahaja ikan bilis diburu malah jerung dan paus turut “diligan” dengan lajunya.

Tidak yang berpaku sahaja yang berbintang di bahu pun turut tidak terlepas.  Syabas.  Moga tiada yang dikhuatiri terlepas pandang.

Datuk Seri,

Dalam sistem pendidikan negara ini, program DLP dapat dianggap suatu bentuk “penyelewengan” atau “penyalahgunaan” Dasar Pendidikan Kebangsaan,  yang juga memerlukan kesungguhan dan keberanian untuk memansuhkannya.

Maka sebagai bekas pejuang bahasa,  Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa dengan penuh keberanian untuk membatalkan DLP dengan segera dan tanpa “soft-landing”.   Janganlah diharap kepada mana-mana menteri hatta menteri berkaitan yang pastinya tidak mampu untuk melaksanakan pemansuhan tersebut.

Kita amat percaya semua pimpinan tinggi negara sedar malapetaka DLP seperti juga PPSMI, tanpa mengira parti yang didukung tetapi setelah beberapa tahun diberi peluang dan digesa, hampir semuanya tiada keberanian menegur dan bersuara lagi.

Semuanya pekak dan bisu.  Agaknya, semuanya sudah menjadi seperti pembesar dalam cerita “Maharaja dengan Baju Baharu” (The King with a New Dress)? Tidak berani memberitahu raja yang baginda sebenarnya tidak berbaju.  Baju baru itu hanya tipu helah si tukang jahit.  Tiada baju pun.  Hanya pura-pura jahit.

Dibimbangi  mereka sebagai pemimpin  seolah-olah telah memegang pepatah baharu (khususnya dalam pentadbiran dan politik) iaitu “takut walaupun benar dan berani walaupun salah.

  Makanya jadilah takut melapor kesalahan walaupun benar dan berani menyeleweng walaupun salah?  Malang sungguh negara ini jika itulah kebenarannya dalam setiap perkiraan untuk membuat sesuatu keputusan.  Bertambah malang jika ada perkara lain lebih utama berbanding kebenaran dan kepentingan majoriti rakyat sama ada kedudukan, jawatan atau undi.

Datuk Seri,

percayalah, walau apapun usaha dilakukan untuk memartabat bahasa Melayu, tanpa memansuhkan DLP, umpama memberi makanan terbaik kepada ternakan kita tetapi air minumnya adalah racun.

Itulah sahaja pandangan jujur dan ikhlas hamba, buat sekian kalinya tanpa ragu dan berpihak kecuali kepada kebenaran dan hakikat tentang kewujudan negara ini dengan sejarah, peradaban, budaya dan ekosistemnya yang benar walaupun cuba dinafikan oleh sebahagian daripada kita.

*Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan  Melayu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img