Degil ubah suai, 8 kenderaan disita dalam Ops Falcon JPJ WPKL

SIKAP segelintir pemilik kenderaan yang degil melakukan pengubahsuaian ekstrem membawa padah apabila lapan kenderaan disita dalam operasi penguatkuasaan Unit Falcon oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di beberapa lokasi sekitar ibu negara, awal pagi semalam.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 10 malam hingga 5 pagi itu dilaksanakan susulan aduan awam selain menangani isu gangguan bunyi serta pengubahsuaian kenderaan yang menimbulkan ketidakselesaan pengguna jalan raya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan.

“Hasil operasi, sebanyak 346 notis dikeluarkan selain enam kereta dan dua motosikal disita serta-merta atas kesalahan serius termasuk pengubahsuaian ekstrem serta kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu kejadian semasa operasi, seorang wanita berusia lingkungan 26 tahun cuba melarikan diri daripada sekatan dengan berpatah balik sebelum bertindak menunggang motosikal melawan arus.

“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor pendaftaran yang mengelirukan dan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan sebelum disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

JPJ menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undangundang serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img