
‘’Negara tersebut berkali-kali memberi amaran keras akan melakukan tindak balas tetapi rupanya ia bagaikan diplomasi ‘sembang tok arab sambil menghisap shisha…asap berkepul-kepul tapi ‘habuk pun taK ADA’.
“Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan. Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban. Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.
‘’ Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu. Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.’’
Itulah ketegasan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada awal minggu ini di Doha.

Itulah ketegasana yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada 15 September lalu.
Namun sehingga hari ini, tiada apa-apa tindakan daripada negara Arab. Semuanya hanya berdegar-degar sahaja mengecam tetapi kesungguhan Anwar mahukan negara Islam bangkit bukan sekadar mengecam bagaikan menjirus air ke daun keladi.
Akibatnya semalam, Israel bertepuk gembira, berpesta dan terus ‘memperolehi lesen’ untuk menyimbah darah di bumi Palestin serta menghancurkan sisa-sisa bangunan yang masih ada di bandar itu apabila Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza.
Walaupun 14 daripada 15 buah negara menyokong resolusi berkenaan namun AS butakan mata, pekakkan telinga biarpun kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin telah menyebabkan lebih 65,000 nyawa, termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak. Wakil Palestin dan Algeria mengecam tindakan AS sebagai penghalang kepada perlindungan awam.
Penolakan resolusi ini dijangka mencetuskan reaksi simbolik daripada beberapa negara Barat yang mempertimbangkan pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin sebagai tanda protes.
Ini merupakan kali keenam Washington menghalang usaha diplomatik global dan paling memualkan Wakil khas AS ke Asia Barat, Morgan Ortagus, menyatakan bahawa resolusi itu “gagal mengutuk Hamas” dan “tidak mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri.”
Beliau juga dengan angkuh turut menolak pengisytiharan rasmi PBB mengenai kebuluran di Gaza, menyifatkannya sebagai “metodologi yang cacat”.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, menyifatkan veto tersebut sebagai “amat dikesali” dan menuduh AS menghalang Majlis Keselamatan daripada menjalankan tanggungjawabnya untuk melindungi orang awam daripada jenayah kekejaman.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, lebih 18,000 kanak-kanak dan 12,000 wanita telah terbunuh, bersama lebih 1,400 petugas kesihatan dan 250 wartawan. PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada Ogos lalu, menjadikannya yang pertama di Timur Tengah.
Israel meneruskan serangan darat besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza, dengan matlamat untuk “menghapuskan Hamas sepenuhnya.”
Sesungguhnya dengan sokongan kuat AS, Israel sama sekali tidak peduli apapun kata PBB. Ia terbukti apabila Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menegaskan bahawa negaranya “tidak memerlukan justifikasi” untuk tindakan ketenteraan tersebut dan akan terus bertindak walaupun Majlis Keselamatan “memilih untuk menutup mata terhadap keganasan”.
Kenyataan itu menunjukkan kebiadaban dan keangkuhan yang tidak terkawal rejim Zionis berikutan perlindungan diberikan AS yang diterajui oleh Presidennya Donald Trump.
Keangkuhan itu juga membuktikan Israel dan AS sama sekali tidak peduli apa yang dikatakan oleh negara-negara Islam khususnya negara-negara yang entah berapa ratus kali bermesyuarat berkaitan penjajahan Israel ke atas Palestin.
Mereka tahu negara Islam tidak akan berbuat apa-apa. Negara Islam bukannya tidak mampu tetapi sengaja tidak mahu melakukan tindakan keras ke atas Israel demi menjaga hubungan dengan AS. Sebab itulah Israel bermaharajalela!
Pada mula apabila Qatar memanggil mesyuarat tergempar di Doha semua pemimpin Islam kelam-kabut berangkat ke sana, Anwar sendiri terpaksa membatalkan pelbagai program yang sepatutnya beliau hadiri pada 15 September. Demi rakyat Palestin, Perdana Menteri bergegas ke negara teluk itu bagi menyatakan pendirian Malaysia.
Ketika itu juga ramai menjangkakan Qatar yang nampak begitu marah dengan serangan Israel ke atas negara tersebut berkali-kali memberi amaran keras akan melakukan tindak balas tetapi rupanya ia bagaikan diplomasi ‘sembang tok arab sambil menghisap shisha…asap berkepul-kepul tapi ‘habuk pun tak ada’.
Kesimpulannya , memang benar kekejaman ke atas Palestin dilakukan oleh Israel dengan sokongan kuat AS dan Trump, tetapi negara Arab juga bertanggungjawab membiarkan ia berlaku. Mengharapkan mereka bertindak ke atas Israel ibarat menanti ayam jantan bertelur.
Kata Duta Algeria, Amar Bendjama: “Saudara dan saudari Palestin, maafkan kami. Dunia berbicara tentang hak, tetapi menafikannya kepada rakyat Palestin”.
Sesungguhnya pemimpin dan rakyat Malaysia khususnya umat Islam telah melakukan segala yang terdaya untuk membantu rakyat Palestin namun ia tidak bermakna apa-apa selagi pemimpin negara Arab lebih mementingkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan AS serta Israel.
MAAFKAN KAMI GAZA…HANYA ALLAH SAHAJA BOLEH SELAMATKAN KALIAN!


