PERGERAKAN Pemuda UMNO awal malam ini mengumumkan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menulis catatan dalam Facebook: “Alhamdulillah Kinabatangan dan Lamag kekal BN. Terima kasih semua.”
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Penjumlahan rasmi undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 10 malam ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan BN mendahului di Parlimen Kinabatangan dengan kelebihan 9,723 undi, manakala di DUN Lamag dengan 2,093 undi.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag sebelum ini disandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berkhidmat selama enam penggal berturut-turut sebelum meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding dalam PRK tersebut bagi menghormati legasi Bung Moktar.


