BEKAS Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Datuk Mohd Razali Alias dan dua individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara yang akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah Kuala Lumpur dan Seremban pagi ini.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Mohd Razali dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Sementara itu dua individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk akan didakwa kerana disyaki terlibat rasuah dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) di mahkamah Selangor dan Negeri Sembilan.
Pertuduhan akan dilakukan terhadap Datuk warga tempatan dan ahli perniagaan warga China itu di Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM52,000.
Sumber memaklumkan, Datuk berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Tambah sumber, suspek didakwa memberi suapan sebagai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premis syarikat tersebut bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Selain itu, pemilik syarikat warga China itu turut berdepan pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata sumber, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Seremban.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.


