Dua letupan kecil dikesan ketika bomba padam kebakaran tanah gambut di Muar

PASUKAN bomba dan penyelamat mengesan dua insiden letupan kecil dalam operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di ladang milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Hitam di Muar yang masuk hari kesembilan hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, letupan terbaharu semalam berlaku di Sektor D kawasan kebakaran ketika operasi memadam kebakaran memasuki hari kelapan semalam.

GAMBAR dari udara kebakaran tanah gambut di ladang milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Bakri, Muar yang masuk hari kesembilan hari ini. GAMBAR: JBPM Johor

“Letupan itu dipercayai berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih aktif di bawah permukaan tanah.

“Sebelum ini, satu kejadian letupan turut dilaporkan di sektor yang sama pada 3 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan terperinci di lokasi kejadian berdepan kesukaran berikutan asap tebal serta struktur tanah gambut yang longgar dan tidak stabil, sekali gus mengehadkan akses ke kawasan terlibat.

“Bagi memastikan keselamatan anggota dan orang awam, Sektor D telah ditutup sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun, operasi pemadaman kebakaran tetap diteruskan menggunakan kaedah pemadaman udara (water bombing) dengan bantuan helikopter bagi meminimumkan risiko kepada petugas di lapangan,” ujarnya.

Pada Jumaat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan mula menggunakan teknik pengeboman air menerusi helikopter bagi mengawal kebakaran kawasan tanah gambut di Batu 13 dan 14 di Bakri.

Ketua Zon 4 JBPM Johor, Norshuhada Amsari berkata, operasi pengeboman air pada hari ketujuh kebakaran di kawasan itu bermula kira-kira jam 9 pagi dengan memfokuskan Sektor D, iaitu kawasan kebakaran terbesar dengan keluasan dianggarkan 88 hektar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img