Dua pemimpin kanan Pas beri isyarat jelas mahu parti itu terajui PN

PAS memberi isyarat yang semakin jelas apabila dua lagi pemimpin kanan parti itunmenyatakan secara terbuka masanya sudah tiba untuk parti itu mengambil kepimpinan Perikatan Nasional (PN) melalui semangat muafakat politik.

Bercakap kepada wartawan di HULU TERENGGANU Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha memperkukuh kerjasama dalam PN dan memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi keutamaan sekali gus membuka ruang parti itu mengetuai blok pembangkang.

“Sudah sampai masa dan ketikanya untuk Pas berbincang dengan rakan muafakat politik bagi mengambil alih mengetuai kerusi ini secara muafakat politik.

“Apa yang penting sekarang ialah usaha memperkukuh muafakat politik dan memenangi pilihan raya. Isu siapa menjadi Perdana Menteri wajar diperbincangkan secara bersama dalam kerangka PN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Walimatul Urus Perdana di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini lapor Sinar Harian.

Menurut Ahmad Samsuri, pandangan pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada Ahad, sebelum dibawa ke Muktamar Tahunan Pas Pusat yang bermula Isnin ini.

Mengulas mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu, beliau menegaskan Pas tidak menafikan hak setiap parti komponen untuk membuat keputusan.

“Itu hak Bersatu untuk mencalonkan sesiapa sahaja. Tetapi saya rasa perkara lepas sudah berlalu. Apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kita memperkukuh muafakat politik bersama rakan-rakan strategik untuk mencapai kemenangan PRU16,” katanya.

DI ALOR SETAR,  Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menyokong pendirian Dewan Pemuda Pas yang mahu kepimpinan parti itu menerajui PN.

Bercakap kepada wartawan, Hashim bersetuju dengan pandangan bahawa sudah tiba masanya PAS memimpin gabungan berkenaan dan seterusnya negara.

“Saya pernah suarakan hasrat itu daripada tahun-tahun yang lalu, bahawa dalam Perikatan Nasional ini, 1 keputusan yang melibatkan dasar perlu dibuat selepas kita berunding.

“Apabila pada ketika itu, ada suara-suara yang merasakan mereka umumkan apa saja, jadi saya rasa saya bukan ada apa-apa kepentingan, hanya untuk parti. Maka saya suarakanlah, tak patut buat gitu, rundinglah dulu.

“Tapi makin hari dia makin berlaku sebaliknya. Jadi secara peribadi, keputusan yang dibuat oleh pemuda, saya setujulah itu. Dan kita harap benda ni akan membantu lagi untuk kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya di Maahad Darul Hadis, Alor Setar.

Kata Hashim, Pas sudah berada di hadapan dalam pelbagai aspek, termasuk kejayaan menguasai empat negeri serta jentera pilihan raya yang tersusun.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img