SERANGAN dron dan peluru berpandu Iran ternyata memberi kesan yang cukup hebat kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) khususnya di Dubai.
Kota yang terkenal pelancongan dan destinasi membeli-belah itu keadaan berada dalam keadaan tegang. Sejak serangan pencerobohan Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, Dubai tidak aman lagi.
Sasaran Iran terhadap UAE yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan AS itu telah melumpuhkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai serta merosakkan beberapa hotel mewah dan mercu tanda ikonik di pusat bandar.
Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan bahawa mereka terus memintas peluru berpandu yang memasuki ruang udara negara itu semalam. Pada masa sama, UAE secara rasmi menutup kedutaannya di Teheran susulan peningkatan merebaknya perang serantau.
Penutupan ruang udara mencetuskan panik dalam kalangan bilionair dan pempengaruh. Ramai memilih perjalanan darat selama kira-kira empat setengah jam ke Muscat bagi mendapatkan penerbangan dari Lapangan Terbang Muscat yang masih beroperasi secara terhad.
Namun, usaha untuk keluar dari kawasan itu bukanlah murah. JetVip, broker jet peribadi di Muscat, melaporkan lonjakan harga sehingga tiga kali ganda. Penerbangan ke Istanbul menggunakan jet kecil kini ditawarkan pada harga €85,000 (sekitar RM430,000), manakala satu tempat duduk carter ke Moscow berharga €20,000 (sekitar RM101,000) seorang.
Bagaimanapun ia amat terhad memandangkan pengendali pesawat enggan terbang kerana isu insurans dan risiko keselamatan.
Bagi kebanyakan pelancong, satu-satunya pilihan adalah terus tinggal di hotel. Jabatan Pelancongan Dubai mengarahkan pihak hotel supaya tidak mengusir tetamu yang terkandas serta memanjangkan tempoh penginapan pada kadar asal. Namun, beberapa pelancong Rusia mengadu tentang sikap tidak bekerjasama sesetengah resort yang masih menuntut bayaran tambahan.
Keadaan sama sukar turut dialami ribuan penumpang kapal persiaran. Sekurang-kurangnya enam kapal persiaran besar kini terkandas di pelabuhan atau berlabuh di perairan Teluk. Penumpang dilarang turun dan diarahkan kekal berada di dalam kabin.


