Duda dicekup berkhalwat dengan janda di rumah sewa

SEORANG duda ditahan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana didapati berkhalwat dengan janda di sebuah rumah di Parit Raja, Batu Pahat, semalam.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas penguat kuasa menerima aduan kali ketiga daripada orang awam sebelum menjalankan serbuan ke atas rumah sewa terbabit pada jam 11.30 pagi, lapor Harian Metro.

JAINJ dalam kenyataannya berkata, sebelum penahanan dibuat, penguat kuasa menerima aduan pertama namun lelaki itu tiada di lokasi.

Bagi aduan kedua pula, penguat kuasa telah pergi ke lokasi namun pengadu memaklumkan lelaki itu sudah keluar rumah secara terburu-buru sehinggalah aduan ketiga, barulah JAINJ berjaya menahan pasangan itu.

“Sebelum itu, penguat kuasa mendapati dua kereta milik lelaki dan wanita di parkir berhampiran rumah berkenaan. Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu namun tiada sesiapa membukanya.

“Dua penguat kuasa juga ditugaskan menjaga pintu belakang bagi mengelak mereka melarikan diri. Kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki memakai seluar panjang dan tidak berbaju membuka pintu.

“Selepas memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan, penguat kuasa menemukan seorang wanita sedang duduk atas sofa dengan memakai seluar panjang dan baju T,” kata kenyataan JAINJ yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, apabila ditanya hubungan mereka, pasangan terbabit mengaku mereka bukan suami isteri.

Katanya, pemeriksaan dalam bilik mendapati keadaan katil berselerak dengan dua biji bantal dilihat berada di bawah katil.

“Ketika tangkapan dibuat, adik kepada wanita terbabit tiada di rumah kerana keluar bekerja. Lelaki itu kebiasaannya datang ke rumah setiap kali adik pasangannya keluar bekerja atau ke tempat lain.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu berstatus duda dan bekerja di Parit Raja manakala wanita terbabit seorang janda dan bekerja sambilan.

“Rumah ini disewa oleh wanita itu yang mana dia tinggal berdua bersama adik perempuannya dan pasangan itu juga memberitahu sudah berkenalan sejak lebih setahun lalu.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya kenyataan itu lagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img