ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak berkumpul atau melakukan sebarang aktiviti rekreasi di pesisiran pantai di Terengganu sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, larangan itu dibuat susulan keadaan laut yang bergelora dan ombak besar yang melanda negeri itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Katanya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai adalah Pantai Batu Buruk dan Pantai Pandak di Kuala Terengganu, Pantai Seberang Takir serta Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus.
“Keadaan pada masa ini tidak sesuai dan amat bahaya untuk sebarang aktiviti di tepi pantai. Ombak besar turut membawa batu-batu, kayu-kayu serta sampah sarap yang boleh mengundang risiko kecederaan.
“Oleh itu orang ramai dinasihat supaya mengelak sebarang aktiviti air sepanjang musim Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu Azli berkata orang ramai juga diiingatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran serta bendera merah yang dipasang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sepanjang pantai berisiko.
Sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk, orang ramai diminta supaya lebih peka dengan sebarang arahan berpindah atau amaran keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak di kawasan rendah yang mudah dinaiki air kerana dibimbangi berlaku kejadian lemas atau terperangkap dalam arus deras.
“Polis akan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya, lapor Bernama.


