ENAM lagi mayat ditemukan di perairan sempadan maritim Malaysia–Thailand, menjadikan jumlah korban tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izi (PATI) dalam kejadian semalam itu meningkat kepada 13 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, enam mayat tersebut telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand semalam.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diperluas meliputi lebih 250 batu nautika persegi dengan kerjasama rapat antara agensi Malaysia dan Thailand.
“Kita menjangkakan menemui lebih banyak mangsa pada hari ini. Kami sentiasa bertukar maklumat dengan pihak Thailand. Mereka akan mengerahkan pesawat untuk membantu pencarian, dan Malaysia turut menggunakan aset udara maritim bagi tujuan sama,” katanya ketika sidang akhbar di Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Romli,, mangsa-mangsa tersebut dipercayai antara 70 hingga 90 orang yang menaiki sebuah bot kecil selepas berlepas dari Myanmar menggunakan sebuah kapal induk yang membawa sekitar 300 penumpang.
“Kumpulan itu dilaporkan dipecahkan kepada dua bot sebelum memasuki zon sempadan. Salah satu bot dipercayai karam di perairan selatan Pulau Tarutao, kira-kira 2.5 batu nautika dari Langkawi,” ujarnya.
Tambah beliau, kira-kira 70 orang daripada bot kecil itu masih belum dikesan, manakala nasib baki 230 penumpang dari kapal induk asal masih belum diketahui.
“Corak pencarian kini tertumpu di perairan Tanjung Cincin, Langkawi, berdasarkan jangkaan arus laut yang mungkin menolak mangsa ke kawasan tersebut,” katanya lagi.
Menurut Romli, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa yang ditemui telah hanyut selama dua hari, namun peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup tetap ada.
“Bergantung kepada keadaan laut, ada yang mampu bertahan sehingga tujuh hari. Kami masih berharap dan akan teruskan pencarian,” katanya.
Media semalam melaporkan salah satu bot yang membawa penumpang PATI disyaki karam di Pulau Tarutao berdekatan perairan sempadan negara.
Mangsa terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh disyaki telah membayar sejumlah kira-kira RM13,000 kepada sindiket untuk perjalanan ke Malaysia.
Tujuh mayat ditemukan hanyut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


