Gagal beri maklumat hantaran individu dakwa pakar bedah, Bukit Aman panggil pengurusan Tik Tok

BERIKUTAN kelewatan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu penyebaran berita palsu di Tik Tok, pihak pengurusan tertinggi platform media sosial itu dipanggil ke Bukit Aman, Khamis ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan termasuk yang tular baru-baru ini melibatkan hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.

“Pihak TikTok sangat lambat memberikan maklumat kepada PDRM sehingga saya terpaksa menelefon CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) TikTok sendiri Shou Zi Chew untuk maklumkan, perkara ini adalah jenayah yang telah dilakukan dan organisasi anda sangat lambat.

“Sikap itu tidak boleh kami biarkan dan insya-Allah Khamis ini akan ada satu mesyuarat di Bukit Aman disertai Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki,” katanya kepada pemberita selepas persidangan AI Grand Prix 2025 di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur, hari ini.

Program anjuran Kluster Industri Kreatif IPPTAR itu turut dihadiri Ketua Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

Selain TikTok, Fahmi berkata syarikat induk Facebook, iaitu Meta Platforms Inc (Meta) juga akan dipanggil bagi memberikan penjelasan mengenai penyebaran kandungan tidak bermoral di platform mereka.

Katanya, antara isu dikenal pasti termasuklah penyebaran kandungan berkaitan pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo melibatkan kumpulan dalam talian “Geng Budak Sekolah” sebagaimana tular menerusi WhatsApp dan Facebook.

“Kita lihat pihak platform-platform ini mereka tidak mengambil sikap yang serius, jadi proses dialog itu akan diteruskan dan kita akan beri penegasan undang-undang Malaysia yang terpakai kepada mereka dan mereka wajib akur, kami akan panggil setiap platform,” katanya.

Sementara itu, ketika menjadi panel sesi dialog khas “Let’s Talk AI Revolution” dalam persidangan AI Grand Prix 2025 berkenaan, Fahmi berkata kerajaan sedang meneliti keperluan mewajibkan pengesahan identiti bagi sebarang transaksi jualan melalui platform media sosial

Beliau berkata langkah itu bertujuan membendung penyalahgunaan akaun palsu yang sering dikaitkan dengan jenayah penipuan, iklan judi dalam talian dan kandungan “deepfake”.

“Banyak jenayah yang berlaku dalam media sosial, dilakukan oleh pelaku-pelaku yang berselindung di sebalik akaun palsu. Banyak daripada akaun ‘deepfake’, iklan judi, scam dan pedofilia, semuanya ialah akaun palsu.

“Saya nampak mungkin ada keperluan untuk kerajaan mengambil satu sikap, iaitu kalau hendak jual barang dalam talian, dalam platform-platform mesti ada verifikasi identiti, kalau hendak buat iklan dalam Facebook, mesti ada butiran sebenar, ini yang Facebook enggan lakukan,” katanya dan menambah langkah itu juga telah dilaksanakan Singapura.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img