TINDAKAN pemandu Proton Wira yang gagal memotong dipercayai punca nahas membabitkan kenderaan itu dengan sebuah trak tentera sehingga meragut nyawa seorang anggota tentera di di Kilometer 37.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Bukit Belah, di Machang, Kelantan semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, kemalangan pada jam 6.35 petang melibatkan sebuah trak tiga tan Hicom dinaiki anggota tentera dari arah Tanah Merah menghala ke Kem Desa Pahlawan di Kok Lanas.
“Pemandu kereta dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan pemandu trak tidak sempat mengelak lalu bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shafiki berkata, berikutan itu, seorang anggota tentera meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga lagi cedera ringan dan pemandu kereta yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim menerusi talian 011-145 4020 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-975 1222.


