ANALISIS
KECOH sungguh parti-parti lain berkaitan siapa calon Perdana Menteri (PM) dari Perikatan Nasional (PN). Puncanya apabila ada seorang dua dalam Bersatu teruja sangat nak Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon PM bagi PN.
Betul mereka kata, Muhyiddin dinamakan sebagai calon PM bagi Bersatu tetapi masalahnya Pas daripada awal lagi tidak mahu soal tersebut dibangkitkan. Ia memandangkan mereka mahu tumpu untuk menang pilihan raya terlebih dahulu.
Sebenarnya Pas tidak mahu lagi Muhyiddin menjadi calon PM. Tetapi Pas tidak tergamak nak cakap sebab nak menjaga air muka Muhyiddin. Bila Pas kata menang bila pilihan raya dulu baru bincang siapa PM, ada pemimpin kanan Bersatu kata Pas sombong,angkuh.
Kemudian meleret pula kepada dana pilihan raya apabila Bersatu mendakwa mereka turut membiayai perbelanjaan pilihan raya Pas. Bagaimanapun ia dinafikan dengan tegas oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN.
‘Nak jadi meriah’ ada pemimpin Amanah ‘tumpang semangkuk’ minta SPRM siasat dana pilihan raya PN. Pada masa sama, ada pula penganalisis yang ‘simbah minyak’ kata, Pas paling layak terajui PN manakala satu lagi puak penganalisis kata, Pas tak boleh jadi PM sebab tak ada sokongan bukan Melayu.
Semua haru biru, hiruk pikuk ini berlaku kerana dalam Bersatu ada ‘spesis’ yang rasa terancam jika Muhyiddin tidak dinamakan calon PM bukan sahaja untuk parti itu tetapi juga PN.
Keghairahan dan keterujaan mereka dah mencetuskan suasana tidak harmoni bukan sahaja dalam Bersatu dan PN khususnya hubungan Bersatu dengan Pas tetapi juga ‘buta-buta’ beri peluru kepada musuh untuk menyerang.
PN yang sepatutnya dilihat sebagai saingan dan alternatif kepada PH-BN kini dilihat gabungan bermasalah berebut mahu berkuasa dan menjadi calon PM. Selain itu PN juga digambarkan mahu berpolitik sepanjang masa sedangkan PH-BN sedang bertungkus lumus menguruskan negara.
Inilah akibat yang terpaksa ditanggung oleh PN bahana mainan politik dalaman Bersatu sehingga menyeret Pas sedangkan Pas sejak awal lagi tidak mahu bercakap soal siapa PM.
Tetapi apabila Pas hanya menegaskan pendirian parti itu dalam muktamarnya, Pas terus dituduh sedang berebut kuasa dengan Bersatu. Sedangkan segalanya berpunca daripada konflik dalaman Bersatu apabila segelintir pemimpin merasakan hanya Muhyiddin paling layak dalam PN untuk menjadi PM.
Kalau Pas dikatakan mahu berebut kuasa, sudah lama parti itu akan lakukan. Sebagai parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak dalam PN dan menguasai empat buah negeri, Pas lah paling layak jadi Ketua Pembangkang dan seterusnya calon PM.
Tetapi Pas tidak pernah menuntut jawatan itu. Pas juga pernah menyatakan bahawa mereka akan menamakan calon PM mereka. Kenyataan bahawa Pas ada empat lori calon PM hanya sindiran bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak termasuklah dalam Bersatu sendiri bahawa Pas tidak ada calon bagi jawatan itu.
Justeru PN harus menghentikan segala tafsiran negatif yang timbul pada mesyuarat Majlis Presiden PN minggu ini. Letakkan noktah terhadap kemelut yang berlaku, walaupun sebenarnya tidak ada kemelut, tetapi politik berkaitan persepsi sebab tu bila ahli politik ada masalah jarang diambil jadi calon pilihan raya.
Tidak payah lagi bercakap soal calon PM bak kata orang kampung penulis, ‘’buat malu kat orang saja dok cakap benda tak pasti’’ . Lebih baik tumpu kepada usaha memperkukuhkan PN khususnya melibatkan hubungan antara Pas dan Bersatu di peringkat akar umbi.
Mahu tidak mahu, puak yang dok ghairah sangat nak calonkan Muhyiddin jadi PM kena faham nyawa PN bergantung kepada sokongan ahli-ahli Pas jugak. Sebab itulah dalam Bersatu ada pemimpin dan kelompok yang sentiasa berusaha menjaga hubungan dengan Pas.
Mereka tahu Bersatu perlu sokongan Pas… tanpa Pas…Bersatu tidak akan ke mana. Ini bukan penulis yang cakap tetapi pemimpin Bersatu yang cakap. Sebab itulah jangan gelojoh sangat. Jangan terperangkap dengan seorang dua pemimpin Bersatu yang nak tunjuk lagak tak tentu hala sedangkan ahli parti sendiri pun menyampah.
Selagi puak-puak ini ada, Bersatu tidak akan aman dan PN tidak mungkin tenteram, oleh itu Majlis Presiden PN harus bertegas dalam membuat keputusan kerana apa yang rakyat mahu dengar daripada PN ialah perancangan untuk membangunkan negara dan memperjuangkan isu rakyat, bukannya ghairah mahu memperjuangkan mana-mana individu menjadi calon PM hingga tak pasal-pasal imej PN terjejas.


