Giliran Zambry pula tegur pemimpin MCA, pemimpin politik perlu beradab dalam teguran

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegur seorang pemimpin MCA atas kritikan `tidak beradab’ terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil mengingatkan bahawa pemimpin politik seharusnya beradab dalam menyampaikan pandangan.

Menurut beliau, ketidaksepakatan tidak memberi lesen untuk mengabaikan tata cara dan etika yang dipersetujui bersama.

“Teguran yang berhemah, bernada lunak dan berlandaskan fakta jauh lebih berkesan daripada kenyataan terbuka yang bersifat mencabar dan mengguris,” katanya, lapor FMT.

Dr Zambry berkata, lebih mendukacitakan apabila kenyataan sedemikian daripada seorang pemimpin yang memegang jawatan penting dalam parti komponen BN.

Beliau menjawab kritikan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak melayakkan beliau untuk terus menerajui BN, selepas menyatakan kesediaan menarik balik kenyataan menggambarkan wujud ‘Team B’ dalam DAP.

Teik Cheng berkata, tindakan itu merupakan penghinaan secara langsung terhadap kredibiliti politik gabungan yang telah dibina selama bertahun-tahun. Beliau juga menyifatkan Ahmad Zahid sebagai ‘liabiliti terbesar’ BN.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu, Ahmad Zahid mendakwa pemimpin DAP yang menghentam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh merupakan sebahagian daripada ‘Team B’ DAP, sekali gus memberi gambaran wujudnya perpecahan dalaman parti itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kemudian menyangkal dakwaan wujudnya puak-puak dalam parti itu, menegaskan hanya terdapat satu ‘Team DAP’.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, saluran dalaman gabungan harus dimanfaatkan jika terdapat ketidaksetujuan atau kebimbangan terhadap kepimpinan.

“BN tidak boleh diperkukuh dengan jeritan dan celaan, tetapi dengan kebijaksanaan, adab dan kesetiaan kepada semangat muafakat.

“Kepimpinan yang berwibawa bukan diukur melalui keberanian melontar kritikan terbuka, tetapi melalui kebijaksanaan memilih kata, menjaga adab, dan meletakkan kepentingan gabungan mengatasi kepentingan peribadi.”

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img