Gubal akta, sistem percukaian kawal aktiviti penternakan, jualan babi 

Oleh  Datuk  Mohd Nor Hamzah

DEWAN  Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengambil maklum polemik yang timbul berhubung isu penternakan babi yang hangat diperkatakan kebelakangan ini sehingga mendapat perhatian dan teguran oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 Isu ini wajar ditangani secara cermat, berprinsip dan berpaksikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, di samping mengambil kira maslahat umum serta sensitiviti agama.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Mohd Nor Hamzah

DUPP menegaskan bahawa Islam secara jelas melarang umat Islam daripada terlibat dalam penternakan, pemilikan dan perdagangan khinzir berdasarkan nas yang sahih. Antaranya sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala.” -(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun demikian, Islam tidak menyekat hak orang bukan Islam untuk memakan babi atau menjalankan aktiviti perniagaan serta penternakan tersebut. Walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bersifat mutlak dan mesti dikawal agar tidak dilakukan secara terbuka dan meluas sehingga mengganggu sensitiviti umat Islam serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Muslim.

Dalam panduan pentadbiran Islam sebagaimana yang direkodkan pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, setiap kegiatan yang melibatkan perkara yang diharamkan kepada umat Islam hendaklah berada di bawah kawalan pemerintah.

Urusan penternakan, pengurusan dan pengawasan tidak boleh diserahkan secara bebas kepada pihak swasta semata-mata, sebaliknya perlu melalui pelantikan, kelulusan dan pemantauan pihak kerajaan, selaras dengan kaedah fiqh: Tindakan pemerintah terikat dengan maslahat umum

Sehubungan itu, DUPP berpandangan bahawa penggubalan akta percukaian khusus, perlesenan yang ketat serta bayaran tetap ke atas setiap aktiviti ternakan dan jualan babi merupakan antara mekanisme penting bagi menandakan kawalan kerajaan yang menyeluruh terhadap industri ini.

Langkah tersebut juga bertujuan mengelakkan aktiviti ini berkembang secara tidak terkawal sehingga mencetuskan mudarat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Kebimbangan utama yang timbul ialah apabila ladang penternakan babi dicadangkan berhampiran penempatan penduduk, termasuk kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam sendiri, tanpa mengambil kira kesan sosial, kesihatan awam, alam sekitar serta sensitiviti komuniti sekeliling, khususnya umat Islam. Islam menegaskan prinsip pencegahan mudarat melalui kaedah fiqh: (Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan.

Sehubungan itu, DUPP menggesa kerajaan negeri agar mengambil kira secara serius suara dan pandangan penduduk setempat kerana keputusan yang dibuat melibatkan kepentingan ramai pihak.

Pungutan suara, rundingan awam serta persetujuan masyarakat setempat wajar diberi keutamaan sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada pengusaha atau penternak babi.

DUPP turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggubal satu akta serta sistem percukaian yang lebih khusus, tersusun dan sistematik bagi mengawal aktiviti penternakan dan jualan babi di seluruh negara.

 Langkah ini penting bagi memastikan pengawalan yang selari dengan pendekatan pentadbiran Islam yang menekankan kawalan, keadilan, kebajikan masyarakat serta penghormatan terhadap sensitiviti agama dalam sebuah negara majmuk.

Akhirnya, DUPP menyeru semua pihak agar menjadikan keharmonian masyarakat, kebijaksanaan tadbir urus dan penghormatan terhadap agama Islam sebagai asas utama dalam menangani isu ini demi kesejahteraan negara serta kestabilan sosial jangka panjang.

*Datuk  Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP). Ini adalah kenyataan media DUPP

*Hantar komen atau artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img