Guna kuasa veto kali keenam di PBB, bukti AS ‘restui’ Israel terus bunuh rakyat Palestin, hancurkan Gaza

WALAUPUN sudah 65,000 rakyat Palestin dibunuh di Gaza, walaupun Israel melakukan operasi menghancurkan bandar itu sehancur-hancurnya namun Amerika Syarikat (AS) tetap tidak peduli sebaliknya terus setia memberi sokongan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melakukan keganasan di bumi Palestin.

Ia terbukti apabila AS yang diterajui oleh Presiden Donald Trump sekali lagi menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ”merestui’ sahabat baiknya Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus membunuhrakyat Palestin di Gaza dengan menggunakan kuasa veto di PBB.

Ini merupakan kali keenam Washington menghalang usaha diplomatik global untuk menghentikan konflik yang telah meragut lebih 65,000 nyawa di wilayah bergolak itu. Resolusi tersebut, yang dirangka oleh 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan, menerima sokongan 14 daripada 15 negara anggota.

Ia turut menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, serta penghapusan sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Wakil khas AS ke Asia Barat, Morgan Ortagus, menyatakan bahawa resolusi itu “gagal mengutuk Hamas” dan “tidak mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri.”

Beliau turut menolak pengisytiharan rasmi PBB mengenai kebuluran di Gaza, menyifatkannya sebagai “metodologi yang cacat”.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, menyifatkan veto tersebut sebagai “amat dikesali” dan menuduh AS menghalang Majlis Keselamatan daripada menjalankan tanggungjawabnya untuk melindungi orang awam daripada jenayah kekejaman.

Duta Algeria, Amar Bendjama, turut menyuarakan kekecewaan: “Saudara dan saudari Palestin, maafkan kami. Dunia berbicara tentang hak, tetapi menafikannya kepada rakyat Palestin”.

Konflik yang bermula sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah menyebabkan kemusnahan besar di Gaza.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, lebih 18,000 kanak-kanak dan 12,000 wanita telah terbunuh, bersama lebih 1,400 petugas kesihatan dan 250 wartawan.

PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada Ogos lalu, menjadikannya yang pertama di Timur Tengah.

Israel meneruskan serangan darat besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza, dengan matlamat untuk “menghapuskan Hamas sepenuhnya.”

Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menegaskan bahawa negaranya “tidak memerlukan justifikasi” untuk tindakan ketenteraan tersebut dan akan terus bertindak walaupun Majlis Keselamatan “memilih untuk menutup mata terhadap keganasan”.

Veto keenam ini berlaku menjelang Perhimpunan Agung PBB, di mana isu Gaza dijangka menjadi tumpuan utama.

Beberapa negara Barat, termasuk sekutu rapat AS, dijangka mengiktiraf negara Palestin secara simbolik sebagai tanda protes terhadap kegagalan diplomasi semasa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img