SEORANG guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap dua pertuduhan berkaitan mengemukakan invois palsu bagi tuntutan pembekalan peralatan sukan bernilai RM22,728, enam tahun lalu.
Tertuduh, Sahnan Nuddin Abdul Razak, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Jason Wee.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 26 Mei 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya telah memberikan satu dokumen invois daripada syarikat New Sport One Enterprise kepada ejen pengetua sekolah dengan niat memperdayakan prinsipal.
Dokumen itu melibatkan tuntutan pembekalan peralatan sukan iaitu 80 unit palang larian (hurdle), 44 jaket larian (running vest) dan 44 sut sukan (tracksuit) berjumlah RM22,728, walaupun kerja pembekalan tersebut didakwa tidak pernah dilaksanakan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sahnan Nuddin juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen invois New Sport One Enterprise berjumlah RM22,728 untuk kerja-kerja pembekalan peralatan sukan membabitkan barangan sukan sama, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 April ini.


