Had umur 16 tahun untuk media sosial dijangka dikuatkuasakan Julai

PELAKSANAAN had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian, dijangka dikuatkuasakan seawal Julai ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.

TEO Nie Ching

Langkah itu, katanya, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.

“Di bawah OnSA, kami telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Sekarang ini, kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mencari cara paling baik, berkesan, dan selamat bagi melaksanakan pengesahan umur. Buat masa ini, ia masih berada di peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform.

“Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di Kulai, Johor hari ini, lapor Bernama.

Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.

Ditanya mengenai isu buli siber terhadap pemain badminton negara, Toh Ee Wei, Nie Ching berkata, beliau masih belum menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sama ada terdapat sebarang aduan berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau memberitahu, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

Di Johor, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata seramai 586,153 murid menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta.

“Untuk daerah Kulai sahaja, terdapat 58,264 murid dengan sumbangan yang telah disalurkan kepada daerah ini berjumlah RM8.7 juta. Hari ini, kami hadir ke SK Putra Utama untuk menyerahkan bantuan secara simbolik kepada ibu bapa terpilih,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img