SEORANG pelajar berusia 13 tahun Syehlendra Haical R. A berjaya diselamatkan selepas tiga hari tertimbus runtuhan bangunan surau Pondok Pesantren (Ponpes) Al Khoziny, Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur.
Nama Haical menjadi perhatian selepas tular sebuah video yang memperlihatkan petugas penyelamat cuba menenangkannya ketika masih terhimpit runtuhan.

Dalam video itu, petugas kedengaran berkata: “Haical, kamu sakit apa nak? Semuanya sakit? Oke semangat ya, sabar…”
Haical akhirnya berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan segera dikejarkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Notopuro Sidoarjo.
Menurut Pengarah RSUD tersebut, Dr. Atok Irawan, keadaan Haical stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Hasil imbasan pada kepala, pinggul, kaki dan jarinya semua normal. Hanya sedikit lemah kerana tidak makan selama beberapa hari, ada tanda dehidrasi dan sedikit lebam akibat terhimpit, tetapi keadaannya selamat,” katanya lapor Kompas.com
Haical kini dirawat di Jabatan Kecemasan untuk pemerhatian lanjut dan diberikan terapi serta nutrisi bagi memulihkan tenaganya.
Sebelum ini, dua mangsa lain turut berjaya dikeluarkan daripada runtuhan surau itu, seorang dalam keadaan meninggal dunia dan seorang lagi selamat, iaitu Haical.


