KEDUDUKAN jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen bergantung kepada sokongan majoriti Ali Parlimen pembangkang dan bukan ditentukan oleh mana-mana parti secara bersendirian.
Untuk itu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya majoriti Ahli Parlimen pembangkang tidak lagi mahukan beliau memegang jawatan itu, beliau bersedia dan akur dengan keputusan berkenaan.
“Menjadi ketua dalam Parlimen sebagai pembangkang ini memerlukan kerjasama daripada semua Ahli Parlimen pembangkang.
“Jika Ahli Parlimen pembangkang tidak lagi mahu saya menjadi Ketua Pembangkang, saya akur kerana itu adalah suara majoriti,” katanya selepas Majlis Sumbangan Asnaf Parlimen Larut di Kampung Paya, Batu Kurau hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan parti itu bersedia mencalonkan wakilnya untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang sekiranya mendapat persetujuan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Hamzah berkata, mana-mana Ahli Parlimen pembangkang boleh dipilih memegang jawatan berkenaan selagi mendapat sokongan dan penerimaan bersama daripada blok pembangkang.
“Jawatan itu bukan datang daripada mana-mana parti asalkan dia Ahli Parlimen pembangkang dan boleh diterima oleh semua Ahli Parlimen pembangkang, maka dia boleh menjadi Ketua Pembangkang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan terdapat beberapa perkara berkaitan ‘rumah baru’ yang masih dalam proses penyesuaian sebelum diumumkan secara rasmi.
Beliau berkata, perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira penyertaan pelbagai pihak termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak serta kaum bukan Melayu.


