
TULISAN terbaru di bawah Minda Presiden Pas menunjukkan betapa Tan Sri Abdul Hadi Awang mendapat maklumat yang tidak tepat terkait dengan kesan Perang Iran ke atas Malaysia.
Saya tak nak ulas perkara lain kecuali yang berkenaan dengan harga minyak di Malaysia.
Presiden Pas mengatakan bahawa tiada sebab untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana Malaysia tidak termasuk dalam sekatan Iran di Selat Hormuz.
Ini sahaja jelas menunjukkan maklumat yang Presiden Pas dapat tidak tepat kerana sekatan Selat Hormuz oleh Iran pada awalnya memberi kesan kepada semua negara.
Laluan trafik kapal sebelum Perang Iran bermula pada 28 Februari 2026 menunjukkan di antara 100 hingga 150 kapal melalui Selat Hormuz setiap hari dan trafik kapal selepas 28 Februari jatuh mendadak hanya sekitar 6 kapal sehari yang melalui Selat Hormuz.

Sebanyak 6 kapal sehari secara purata yang melalui Selat Hormuz selepas perang bermula adalah kapak tangki minyak Iran sendiri untuk dieksport ke China.
Hanya selepas sebulan perang berlangsung, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Iran akan membenarkan kapal milik Malaysia untuk melalui Selat Hormuz selepas panggilan telefon di antara PMX dengan pemimpin di Iran dan beberapa pemimpin rantau Asia Barat.
Dan akhirnya 3 hari lepas kapal tangki minyak mentah Ocean Thunder yang membawa sejuta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq akhirnya melalui Selat Hormuz dan kini dalam perjalanan ke Pengerang, Johor yang dijangka tiba 17 April nanti.
Sebenarnya kapal Ocean Thunder ini sepatutnya telah pun bertolak ke Pengerang sejak 3 Mac 2026 dan tiba di Pengerang seawal 18 Mac 2026, tetapi lewat lebih sebulan kerana sekatan Selat Hormuz oleh Iran sebagai tindakbalas mereka kepada rejim Zionis dan Amerika Syarikat yang mengebom mereka.
Ini membuktikan bahawa Malaysia juga terkesan dengan sekatan Selat Hormuz dan bukan seperti yang Presiden Pas tulis Malaysia tidak terkesan.
Presiden Pas juga nampak tidak tahu bahawa Malaysia tidak mempunyai minyak yang cukup untuk memenuhi keperluan domestik.
Walaupun Malaysia adalah pengeluar minyak, tetapi minyak yang dikeluarkan hanya purata 350,000 sehari dan dalam masa yang sama pengguna di Malaysia menggunakan 600,000 tong minyak sehari, di mana 250,000 tong minyak mentah perlu diimport dari luar negara.
Tahun lepas sahaja Malaysia mengimport RM54.1 bilion minyak mentah daripada luar negara dengan 69% daripada minyak mentah daripada negara Asia Barat seperti Arab Saudi, UAE, Oman, Iraq, Kuwait dan Qatar.
Ini menunjukkan kebergantungan import yang tinggi oleh Malaysia kepada rantau yang sedang bergolak Asia Barat.
Maka apabila bekalan tersekat, harga minyak mentah dunia meningkat, harga produk petroleum seperti petrol dan diesel melonjak; harga petrol dan diesel tanpa subsidi di Malaysia juga meningkat seiring dengan kenaikan harga minyak dunia.
Presiden Pas juga ada menyebut Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain seolah-olah pengeluaran minyak di Malaysia cukup untuk menampung keperluan domestik.
Sedangkan pengeluaran minyak mentah Malaysia setiap tahun menurun dan sebenarnya telah memuncak pada tahun 2003 di mana sebelum itu Malaysia mengeluarkan 700,000 tong sehari minyak mentah dan kini hanya 350,000 tong sehari penurunan 50% selepas lebih 20 tahun.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia sepanjang 8 tahun lepas sejak 2018, pengeluaran minyak mentah Malaysia menurun daripada 197.4 juta tong pada 2018 kepada 124.6 juta tong pada 2025 iaitu penurunan 37% dalam tempoh 8 tahun.
Jadi memang Malaysia masih ada sumber tetapi sumber itu semakin berkurang setiap tahun.
Oleh kerana sumber yang semakin berkurang dasar subsidi pukal seperti dulu tidak lagi boleh dilaksanakan dan ditukar kepada subsidi bersasar untuk kumpulan-kumpulan yang layak sahaja. Inilah fakta dan angkanya.
Presiden Pas perlu lebih peka dengan keadaan semasa dan tidak mengelirukan orang.
Sebagaimana harga minyak masak, harga ayam dan telur meningkat berganda-ganda semasa PN yang Pas sebahagian daripadanya memerintah kerana faktor yang Kerajaan tidak boleh kawal, begitu jugalah keadaan semasa yang lebih dahsyat sehingga bekalan minyak mentah dunia tersekat lebih 20%.
Sayangnya Presiden Pas tidak pula membangkitkan isu sumber Malaysia yang banyak ketika itu. Kerana akhirnya, Presiden Pas juga politikus seperti juga ahli politik yang lain, semalam cakap lain, hari ni cakap lain, esok juga cakap lain.


