HELP University memaklumkan akan menjalankan pemeriksaan dalaman segera bagi memastikan keselamatan dan integriti bangunan lain di kampus Bukit Damansara susulan insiden letupan yang mengakibatkan seorang maut dan sembilan lagi cedera, hari ini.
Pengurusan universiti itu dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan turut dijalankan di kampus Subang Bestari di Damansara, Shah Alam.
Kata kenyataan itu, pihak universiti sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik mahupun pengurusan bangunan untuk mengenal pasti punca insiden berkenaan.
“Bangunan yang terlibat akan kekal ditutup sehingga siasatan rasmi selesai,” kata kenyataan HELP University hari ini.
Dalam kejadian pagi ini, seorang kontraktor yang sedang mengikuti latihan industri maut, manakala sembilan lain cedera dalam kejadian letupan melibatkan pemampat pendingin hawa di universiti tersebut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan sebelum ini berkata, letupan berlaku semasa penyelenggaraan di tingkat empat Help University melibatkan bilik pemampat pendingin hawa.
Kata kenyataan JBPM itu lagi, pasukan Hazmat juga turut menjalankan kerja-kerja mengenalpasti dan mengesan kebocoran gas di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kewujudan gas berbahaya dikesan.
Sementara itu, saksi kejadian letupan itu mendakwa, dia melihat seorang penuntut wanita terperangkap di bawah kepingan papan dipercayai jatuh dari siling kafeteria sejurus letupan berlaku.
Saksi wanita berusia 24 tahun yang juga penuntut universiti itu yang enggan dikenali berkata, letupan berlaku secara tiba-tiba dan ternampak mangsa terperangkap ketika mahu keluar dari kafeteria untuk menyelamatkan diri.
“Semasa melarikan diri, saya melihat seorang penuntut wanita terperangkap di bawah papan dan tidak dapat bergerak. Saya juga melihat seseorang lagi di bahagian dapur mengalami kecederaan melecur akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, lapor Bernama.
Wanita itu berkata, tidak dapat memastikan keadaan mangsa serta tidak berupaya untuk membantu mereka kerana dirinya juga berada dalam keadaan panik.
“Ketika itu penggera keselamatan sudah berbunyi dan saya memberi tumpuan untuk menyelamatkan diri,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, seorang petugas universiti yang juga enggan dikenali berkata, kampus itu mempunyai satu kafeteria yang digunakan staf dan penuntut.
“Kebanyakan ruang dalam bangunan terlibat menempatkan pejabat pengurusan universiti, beberapa kelas dan kafeteria itu. Ketika kejadian, saya di blok lain dan tidak mendengar letupan tersebut kerana mungkin disebabkan jarak agak jauh,” katanya.


