POLIS hari ini meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes kemalangan maut di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berdekatan Kampung Rahmat, Bukit Bunga, Tanah Merah, Jumaat lepas.
Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supritendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kes itu yang melibatkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan sebuah kereta masih dalam siasatan polis secara menyeluruh.
Katanya, siasatan melibatkan pelbagai aspek termasuk keterangan saksi, analisis forensik dan penelitian teknikal di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelirukan masyarakat memandangkan terdapat pelbagai reaksi serta perbincangan umum, khususnya di media sosial berhubung kemalangan tersebut.
“Pihak polis juga memandang serius penularan tangkap layar yang dikaitkan dengan kejadian ini. Hasil semakan mendapati tangkap layar tersebut tidak berlaku di Tanah Merah dan tidak berkaitan dengan tarikh kejadian sebenar, sekali gus menjadikannya tidak relevan serta mengelirukan,” katanya.
Semalam, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah menafikan dakwaan kenderaan jabatan sebagai punca kemalangan terbabit seperti yang tular di media sosial.
Dalam nahas melibatkan dua kenderaan kira-kira 4.30 petang Jumaat itu, anak kepada editor kanan Astro Awani Husna Yusop, iaitu Mursyid Azmi, 25, disahkan meninggal dunia.
Mohd Haki juga menegaskan dakwaan bahawa pihak polis membuat kesimpulan tanpa asas juga adalah tidak benar ketika mengeluarkan kenyataan media semalam.
“Kenyataan awal yang dikeluarkan semalam adalah berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian termasuk keterangan saksi serta penemuan fizikal dan bukan muktamad serta masih tertakluk kepada siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kenyataan semalam, Mohd Haki berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan JPJ sedang menjalankan rondaan dari arah Bukit Bunga menuju ke Jeli dan setibanya di lokasi, kereta Perodua Myvi dipandu mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai telah memasuki laluan kenderaan jabatan itu secara tiba-tiba, menyebabkan perlanggaran tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu antaranya di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 499, 500 dan 505 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai juga diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan adil. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


