‘’Hey Trump You’re Fired’’ – jurucakap sindir ultimatum Washington

JURUCAKAP Markas Komando  Khatam al-Anbiya Iran, Ebrahim Zolfaghari hari ini mengeluarkan kenyataan baharu yang menyindir Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menjelang tarikh akhir ultimatum Washington berhubung pembukaan semula penuh Selat Hormuz.

Dalam klip video berbahasa Inggeris yang dilaporkan oleh Al Jazeera, Zolfaghari berkata:

“Hey Trump, YOU’RE FIRED! Anda sudah biasa dengan ungkapan ini. Terima kasih atas perhatian anda terhadap isu ini.”

Ungkapan “You’re fired!” merupakan frasa terkenal yang dipopularkan Trump ketika menjadi hos rancangan televisyen The Apprentice, di mana ia digunakan untuk menyingkirkan peserta dan menjadi slogan ikoniknya.

Iran sebelum ini memberi amaran akan melancarkan serangan balasan yang keras sekiranya AS meneruskan ancaman untuk menyerang rangkaian tenaga dan elektrik negara itu sekiranya Selat Hormuz terus disekat.

Dalam kenyataan berasingan, Markas Komando Khatam al-Anbiya mendakwa pasukannya telah menyerang Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi serta Armada Kelima AS di Bahrain menggunakan peluru berpandu dan dron.

Mereka turut mendakwa pesawat pengintip AS ditempatkan di pangkalan udara tersebut dan menjadi sasaran peluru berpandu balistik, sambil menyifatkannya sebagai lokasi penting bagi penempatan serta operasi ketenteraan AS.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas, dan setakat ini belum ada sebarang komen rasmi daripada pihak AS atau Israel.

Selain itu, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) menegaskan bahawa ancaman untuk menyerang loji jana kuasa bertujuan sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang serangan AS. IRGC turut menolak dakwaan Washington bahawa Tehran bercadang memusnahkan loji penyahgaraman air di rantau Teluk.

“Kami telah mengumumkan bahawa jika berlaku serangan terhadap loji jana kuasa, Iran akan bertindak balas dengan menyasarkan loji jana kuasa milik rejim pendudukan [Israel] serta negara-negara yang membekalkan elektrik kepada pangkalan Amerika, termasuk infrastruktur ekonomi, industri dan tenaga yang mempunyai kepentingan AS,” katanya.

Beliau turut menuduh pihak lawan menyasarkan kemudahan awam Iran, sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap sektor tenaga akan dibalas dengan tindakan setimpal.

IRGC menegaskan pihaknya bertekad untuk bertindak balas terhadap setiap ancaman dengan tahap pencegahan yang sama, sambil memberi amaran bahawa AS akan “melihat sendiri kemampuan Iran di lapangan.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img