POLIS telah mengenal pasti identiti dua mangsa yang rentung di dalam kebakaran kereta akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Jitra awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pemandu kenderaan lelaki dikenali sebagai Pang Seng Chin, 20, dari Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala penumpang wanita ialah Tan Hui Shan, 19, beralamat di Jalan Bukit Dumbar, Jelutong, Pulau Pinang.
Menurut beliau, siasatan lanjut polis mendapati Seng Chin merupakan seorang peniaga manakala Hui Shan pula tidak bekerja.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati mangsa lelaki itu meninggal dunia disebabkan kecederaan pada bahagian dada manakala mangsa wanita maut akibat penyedutan asap kebakaran, selain kedua-duanya melecur teruk susulan kemalangan itu.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi tadi, kereta Honda Civic dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol menyebabkan ia terbalik dan terbakar.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


